KLIK "STOP" UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

DENGAR RADIO KAMI?

SILA KLIK "STOP" PADA RADIO KOBAT FM UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Followers

Monday, June 30, 2014

Penjawat awam berhak dapat bonus Aidilfitri, bukan ‘sagu hati’

Pengerusi Biro Pekerja KEADILAN, Abdullah Sani berkata, kakitangan awam di negara ini berhak mendapat bonus daripada kerajaan sempena Ramadhan dan Aidilfitri ini.

Katanya, bonus berkenaan dapat membantu meringakan beban yang ditanggung mereka berikutan kenaikan pelbagai harga barangan, terutama di musim perayaan.

“Kalau kerajaan tak boleh nak bagi, itu salah kerajaan, bukan penjawat awam.

“Pendapatan yang kerajaan dapat setiap tahun daripada cukai dan sebagainya, hasilnya lebih daripada RM220 billion. Wang itu seharusnya diagihkan sebahagiannya kepada penjawat awam,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan memberi pertimbangan khusus dalam memberi sagu hati kepada penjawat awam sempena Ramadhan dan Aidilfitri nanti.

Presidennya, Azih Muda berkata, penjawat awam berasa tertekan ekoran kos sara hidup masa kini dan sedikit suntikan daripada kerajaan mampu mengurangkan beban kewangan mereka. Azih bagaimanapun menafikan pihaknya menyebarkan kenyataan berhubung pemberian bonus tersebut.

Abdullah Sani dalam pada itu kesal dengan istilah saguhati yang digunapakai Cuepacs dalam menuntut pemberian bonus kepada seramai 1.4 juta kakitangan awam di negara ini.

“Sagu hati ibarat macam nak minta sedekah kepada kerajaan. Padahal duit lebihan pendapatan itu adalah duit yang sepatutnya penjawat awam dapat, dan itu dikatakan bonus, bukan sagu hati.

“Cakap saja terus terang nak bonus, apa yang takut sangat?,” Paling kurang pun, mereka berhak untuk mendapat bonus sebanyak sebulan gaji, bukannya dikira sebagai wang sagu hati,” ujarnya.

Saturday, June 28, 2014

SELAMAT BERPUASA DAN BERAMAL - KEADILAN PAHANG






Seluruh ahli MPN mewakili seluruh ahli KEADILAN Negeri Pahang mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Mubarak kepada semua rakyat Pahang yang berugama Islam.

YB Dato' Fauzi Abdul Rahman - Pengerusi MPN/MP Indera Mahkota


Mudah-mudahan di Bulan yang mulia dan penuh berkat ini kita akan memperolehi taufik dan hidayah dari Allah yang Maha Kuasa dan dibekalkan dengan istiqomah yang berpanjangan di dalam perjuangan kita membawa keadilan dan menentang kezaliman.

Selamat Berpuasa dan Selamat Beramal.

Friday, June 27, 2014

Bawa MCA, Gerakan dalam kabinet, BN terdesak raih sokongan

Perlantikan pimpinan MCA dan Gerakan dalam kabinet bertujuan menarik kembali sokongan masyarakat bukan Melayu supaya kembali kepada Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, penstrukturan semula kabinet yang ditunjangi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu menjadikan ia antara kabinet terbesar dalam sejarah negara, selepas penolakan nyata kedua-dua parti komponen BN itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Katanya, tindakan Najib juga bercanggah dengan apa yang ditonjolkan kelompok ‘Melayu Ultra’ yang dibawa badan bukan kerajaan (NGO) yang dibela Umno.

“Keputusan itu seperti ingin melunturkan imej ‘Melayu Ultra’ antaranya Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) secara tidak langsung demi meraih sokongan bukan Melayu walaupun NGO ini turut memberi sumbangan penting bagi Umno,” katanya dipetik.

 
 
Beliau mengulas perlantikan Pengerusi MCA, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai ke dalam kabinet sebagai Menteri Pengangkutan, manakala Datuk Wee Ka Siong dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Sementara itu, Pengerusi Gerakan, Datuk Mah Siew Keong turut dilantik sebagai Menteri di JPM, Lee Chi Leong (Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa), Chua Tee Yong (Timbalan Menteri Kewangan), Datin Paduka Chew Mei Fun pula kembali memegang jawatan lama beliau iaitu sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Khalid berkata, keputusan Najib merombak kabinet dengan menambah anggota di bawah Jabatan Perdana Menteri hanya memberi manfaat kepada Najib sendiri, selain untuk membalas jasa kepada mereka yang berjaya mempertahankan kerusi BN.

“PM boleh goyang kaki bersama isteri? Tambah anggota Kabinet tapi Kabinet tetap tak berupaya. Jawatan sebagai hadiah…,” kata Khalid di twitter./KD

Monday, June 23, 2014

KEADILAN PAHANG MENGUTUK TANGKAPAN TERHADAP PENENTANG OPERASI LYNAS


Pada 17 Jun 2014, para penduduk sekitar Gebeng, Kuantan dan Indera Mahkota bersama dua buah bas rombongan telah menuju ke Parlimen bagi menyatakan bantahan mereka terhadap pemberian Lesen Operasi Tetap (POL) kepada Lynas.  Rombongan tersebut diketuai oleh Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) Tan Bun Teet dan Pengerusi Stop Lynas Coalition (SLC) Ali Akhbar. 

Turut bersama adalah Adun Beserah YB Andansura Rabu, Adun Semambu YB Lee Chean Chung, Adun Tanjung Lumpur YB Ustaz Rosli Abdul Jabar dan Adun Teruntum YB Sim Chong Siang serta beberapa pimpinan NGO yang menentang Lynas.  Rombongan tersebut disambut di Parlimen oleh MP Indera Mahkota, YB Dato' Fauzi Abdul Rahman (Pengerusi KEADILAN Pahang) dan MP Kuantan, YB Fuziah Salleh (Naib Presiden KEADILAN) dan beberapa Wakil Rakyat dari PR.

Pada hari yang sama MP Kuantan, YB Fuziah Salleh cuba untuk membawa usul tersebut agar Parlimen dapat mendengar sendiri luahan rasa para penduduk Kuantan dan Indera Mahkota terhadap bantahan mereka.  Malangnya Speaker telah menolak usul berkenaan dan akhirnya YB Fuziah Salleh dan YB Surendran yang turut bersuara darihal tersebut telah dihalau keluar dari Parlimen.  Jelas, suara rakyat seolah-olah tidak perlu lagi di Parlimen. (Rujuk artikel berkaitan sebelum ini).



Apabila usaha ini gagal, maka pada petang semalam (22 Jun 2014), tidak kurang dari 1, 000 orang telah berhimpun di kawasan berhampiran pintu masuk kilang Lynas tersebut bagi menyuarakan bantahan secara aman. Kira-kira 50 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang dilengkapi trak meriam air membuat sekatan kira-kira 300 meter dari pintu masuk loji Lynas itu.  Mereka turut diperkuat dengan kehadiran 100 anggota polis beruniform.

Polis telah mengarahkan peserta protes itu supaya bersurai tetapi tidak dipersetujui walaupun Wong Tack berbincang dengan polis selama 30 minit pada jam 3 petang supaya dibenarkan berkumpul di depan loji itu.  Kira-kira jam 4.30 petang, Ketua Polis Kuantan Abdul Aziz Salleh memberi tempoh 10 minit kepada mereka untuk bersurai.

Suasana menjadi bertambah panas apabila berlaku tolak menolak antara peserta protes dan anggota polis yang membentuk halangan, menyebabkan dua orang ditangkap.  Selepas itu Abdul Aziz mengumumkan masa untuk bersurai telah tamat.  "Jika anda tidak mahu bersurai, saya tiada pilihan selain membuat tangkapan," umun beliau sebelum mengarahkan anggota polis membuat tangkapan.

Beberapa peserta protes yang sedang duduk kemudiannya ditangkap dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kuantan.  Sekurang-kurangnya 16 peserta protes anti-Lynas ditahan kerana enggan berganjak dari pintu masuk loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan.  Peserta lain kemudiannya mula bergerak meninggalkan kawasan protes, dengan setengahnya dipercayai menuju ke IPD untuk memberi sokongan kepada mereka yang ditahan.  Sebelum itu, Wong telah berikrar bahawa peserta protes tidak akan meninggalkan loji tersebut sehinggalah ianya ditutup.

Antara mereka yang ditahan termasuk ketua Himpunan Hijau Wong Tack, ahli jawatankuasa pemandu Dr Phua Kia Yaw dan Hew Kuan Yau dari DAP, yang dikenali dengan nama 'Superman'.  Turut ditahan ialah aktivis Australia Natalie Lowrey yang mewakili Friends of the Earth untuk menyokong protes tersebut.   Yang lain adalah aktivis Ali Akbar Othman, Rafar Ahmad, Steven Ta Weng Seng, Lee Khai Meng, Mr Cheong, Adik Zamri Zanal (SAMM) dan beberapa yang lain.

Sehingga berita ini ditulis jam 12.30 tengah malam, kesemua tahanan masih di IPD Kuantan dan para peguam sedang menguruskan pembebasan mereka.  Semakin ramai memenuhi kawasan IPD bagi menunjukkan sokongan terhadap mereka yang ditahan.

KEADILAN Negeri Pahang mengutuk sekeras-kerasnya cara pihak berkuasa menangani isu ini setelah usaha rakyat untuk mengunakan Parlimen bagi menyuarakan bantahan ditolak mentah-mentah dan himpunan secara aman juga mendapat layanan buruk dari pihak berkuasa. 







Thursday, June 19, 2014

PENTAS ANAK MUDA BERSAMA CHEGU BARD MALAM ESOK (JUMAAT) DI INDERA MAHKOTA


Anak Muda adalah harapan rakyat di masa akan datang.  Tiada pilihan, hanya anak-anak muda sahaja yang mampu mengubah nasib rakyat di negara ini.  Anak-anak muda sahaja yang boleh menjatuhkan kerajaan yang zalim dan korup.

Pentas Anak Muda adalah pentas perjuangan reformasi.  Maka, satu program Pentas Anak Muda akan diadakan di Tapak Surau Indera Mahkota 16, (belakang Shell By Pass Hadapan Shahputra), di Indera Mahkota 16, Kuantan pada 20 Jun 2014 (Jumaat) jam 09.00 malam.

Anak-anak muda yang bakal tampil di pentas adalah;

1.  YB Lee Chean Chung - Adun Semambu
2.  Sdr Badrul Hisham Shahrin @ Chegu Bard (Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia)

3.  Ustaz Nazri Ahmad - Ketua Pemuda PAS Pahang.
4.  Sdr Adam Adli - Pimpinan Mahasiswa
5.  Sdr Alang - Ketua AMK Pahang
6.  Sdr Wong - Ketua AMK Indera Mahkota

Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir dan mohon hebahkan.

Wednesday, June 18, 2014

Petisyen Rakyat Bagi Membantah Pemberian POL Kepada Lynas Ditolak Oleh YDP Dewan Rakyat

Pada 17 Jun 2014. Ahli Parlimen Indera Mahkota Dato’ Fauzi Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Kuantan YB Fuziah Salleh telah menyambut kehadiran warga Indera Mahkota dan Kuantan yang hadir ke depan Bangunan Parlimen bagi menyatakan bantahan mereka terhadap pemberian Lesen Operasi Tetap (POL) kepada Lynas.

Rombongan dua bas dari Indera Mahkota dan Kuantan ini diketuai oleh Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) Tan Bun Teet dan Pengerusi Stop Lynas Coalition (SLC) Ali Akhbar. Turut bersama adalah Adun Beserah YB Andansura Rabu, Adun Semambu YB Lee Chean Chung, Adun Tanjung Lumpur YB Ustaz Rosli Abdul Jabar dan Adun Teruntum YB Sim Chong Siang.

Seramai tujuh wakil dari rombongan ini telah dibenarkan masuk ke kawasan Dewan Rakyat bagi mengikuti pembentangan petisyen. Namun kekecewaan jelas terbayang diwajah mereka kerana Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah menolak permohonan rakyat untuk petisyen tersebut dibentangkan.

Mereka yang hadir juga tidak puas hati dengan tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat mengambil tindakan menghalau Ahli Parlimen Kuantan YB Fuziah Salleh kerana mempersoalkan kewajaran dan meminta penjelasan ke atas keputusannya untuk tidak membenarkan petisyen tersebut dibentangkan di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Padang Serai, YB N Surendran turut dihalau keluar dari Dewan Rakyat selepas cuba membangkitkan penolakan petisyen dan kerana ingin menjawab pertanyaan yang diajukan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Ramai Ahli Parlimen PR beranggapan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam keadaan amat ‘marah’ ketika mempengerusikan mesyuarat hari ini. Jelas wajah ‘marah’ terbayang pada raut wajah dan tingkah laku Pandikar yang ingin menunjukkan ‘kuasanya’./Sumber: http://datofauzi.com/v1/?page_id=1984
 
DSC06594 DSC06598 DSC06602 DSC06606 DSC06609 DSC06611 DSC06614 DSC06616 DSC06617 DSC06623 DSC06626 DSC06628

Monday, June 16, 2014

APA SEBENARNYA YANG DIBAWA OLEH MH370 ? - HUSAM MUSA

Rakyat masih tertanya-tanya, apa sebenarnya yang dibawa oleh kargo MH370, penerbangan yang telah hilang sejak 100 hari yang lalu, demikian dinyatakan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Paduka Husam Musa di dalam satu ceramahnya di Sungai Rambai Melaka malam tadi.

"Kenyataan awal menyatakan penerbangan itu membawa bertan-tan buah manggis ternyata tidak masuk akal kerana bukan musim manggis, kemudian dinyatakan bateri lithium sedangkan China adalah pengeluar utama bateri sedemikian, bagaimana mungkin ianya mengimport bateri lithium dari Malaysia?", soal Husam.

Beliau tdak menolak teori bahawa kehilangan MH370 adalah satu konspirasi. Dan yang paling aneh, tragedi itu mendedahkan banyak kelemahan dari aspek keselamatan negara. Kapal selam Scorpene yang dibeli ratusan juta ringgit tidak dapat digunakan di dalam operasi SAR (Search & Rescue) kerana ia dikatakan tidak sesuai untuk melakukan kerja-kerja SAR.

Secara berseloroh beliau menyatakan radar dan setelit yang Malaysia ada pun sudah sama tarafnya dengan teropong buloh Raja Bomoh.

MH370 hilang pada 8 Mac dengan 239 penumpang termasuk 12 anak kapal selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam perjalanan ke Beijing, China.

Sejak tempoh itu, usaha misi pencarian melibatkan 26 negara digerakkan untuk mengesan pesawat berkenaan, namun sehingga kini setelah 100 hari kehilangannya, masih belum membuahkan hasil.

Di dalam ceramahnya, ADUN Salor itu juga turut mengulas kenyataan Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad, Tan Sri Ani Arope yang mendedahkan TNB dipaksa menandatangani perjanjian berat sebelah, sejak hampir 20 tahun lalu.

Ani, yang menyifatkan EPU sebagai ‘Economic Plundering Unit’ (Unit Penyamun Ekonomi), memaksa TNB membeli tenaga elektrik daripada Pengeluar Tenaga bebas (IPP) dengan harga yang mahal sehingga tarif elektrik terpaksa dinaikkan dan rakyat menjadi mangsa.

Penjana Tenaga Bebas (IPP) mula wujud apabila seluruh negara bergelap pada 1993 ekoran berlakunya "total blackout" pada tahun tersebut yang menurut Ani blackout itu adalah sengaja dirancang bertujuan mewujudkan IPP di negara ini.

Turut berceramah di program berkenaan ialah ADUN Duyong yang juga Pengerusi DAP Melaka, YB Goh Leong San dan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, YB Siti Zailah Mohd Yusoff yang juga Ahli Parlimen Pasir Panjang. Ketua Dewan Muslimat PAS Melaka Pn Hj Kintan Man turut hadir di program tersebut.

Pada majlis ceramah berkenaan, Datuk Paduka Husam dan Hj Adly Zahari telah turut sama melancarkan gimik "Nasi Beriyani Amal" untuk kutipan tabung pilihanraya MTD Sungai Rambai. /Greenboc




Saturday, June 14, 2014

CERAMAH ISU LYNAS OLEH RAFIZI MALAM ESOK (15/6/14) DI BALOK MAKMUR

 

Isu Lynas tidak mudah untuk rakyat terutamanya di sekitar bandar Kuantan untuk melupakannya. Bagi kami di dalam PR tidak akan melupakan isu yang besar melibatkan kesejahteraan dan keselamatan penduduk sekitar dan kami yakin usaha kami untuk menyedarkan rakyat agar menentang projek berbahaya ini akan mencapai kejayaan.

Rakyat mungkin terpedaya dengan propaganda kerajaan yang menyembunyikan sesuatu tentang Lynas. Sehubungan itu, kami akan terus menyalurkan maklumat sebenar kepada rakyat melalui berbagai cara. Risalah diedar dan sesi dialog bersama rakyat terus diadakan dari semasa ke semasa.

Pada 15 Jun 2014 (Ahad) ini, bermula jam 09.00 malam bertempat di hadapan Masjid Balok Makmur, Kuantan akan diadakan Program Ceramah Umum yang akan memperkatakan tentang isu Lynas. Di antara tokoh yang akan hadir adalah;

1. YB Dato' Fauzi Abdul Rahman - MP Indera Mahkota/Pengerusi MPN Pahang

2. YB Rafizi Ramli - MP Pandan

3. YB Andansura Rabu - Adun Beserah

4. YB Lee Chean Chung - Adun Semambu

5. Tuan Hj Zulkefli Omar - Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS.

6. Tuan Hj Abu Samah - Ketua Cabang PKR Kota Bharu

Orang ramai dijemput hadir dan mohon hebahkan.

Thursday, June 12, 2014

Ceroboh DUN Pulau Pinang, mana tindakan tegas KDN? – Anwar

KUALA LUMPUR 10 JUN: Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak polis kerana masih gagal mengambil tindakan tegas terhadap segerombolan samseng Umno yang menceroboh Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan beberapa insiden serangan yang lain.

Ketua Umum KEADILAN itu mempersoal mengapa Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mahu bertegas terhadap tingkah laku itu yang sebelum ini turut dilabel pihak kerajaan sebagai ‘kurang ajar’.

 
 
“Kita persoal bidang kuasa menteri dan jaminan itu kerana serangan segerombolan tertentu ini belum ada tindakan tegas daripada kerajaan.

“Saya ambil contoh umpamanya Ketua Polis Negara pada 23 Mei lalu memberi jaminan untuk mengambil tindakan tegas terhadap orang yang menceroboh DUN Pulau Pinang atas alasan demi kepentingan Melayu dan mempertahankan maruah Islam.

“Tetapi setelah Peguam Negara memberi jaminan begitu, tindakan itu tidak menampakkan apa-apa kesungguhan. Menceroboh DUN sepertimana menceroboh Parlimen, sedikit pun Speaker tidak mengambil tindakan tegas, sedangkan undang-undang harus dipatuhi tanpa mengira parti,” kata Anwar bertanyakan perkara itu kepada Timbalan Menteri KDN di Dewan Rakyat, semalam.

Sambung Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, insiden seumpama itu perlu dihentikan kerana dibimbangi aksi pihak terbabit yang dibiarkan itu akan berulang.

“Saya harap KDN jangan berlengah dalam hal ini. Ini juga berkaitan tindakan membaling molotov koktail kepada beberapa gereja termasuk di Lebuh Fakuha, Pulau Pinang dan yang terakhir serangan terhadap Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur dan Kuantan baru-baru ini.

“Kita dengar jaminan Timbalan Menteri di dalam Parlimen bahawa ada peruntukan undang-undang, dan ada suara di sebelah sana yang menyatakan ada sikap kurang ajar (terhadap pencerobohan itu), sekarang jawablah?

“Soalnya, saya telah tegaskan bahawa kita tunggu tindakan, tapi tiada tindakan tegas, kenapa ini berlaku?” kata Anwar.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Santubung, Datuk Dr Wan Junaidi menjawab: penentuan tindakan yang diambil adalah di bawah bidang kuasa mutlak Speaker dan mengikut peraturan Dewan itu sendiri.

Saturday, June 7, 2014

FINAL PIALA FA, PAHANG BERTEMU FELDA UTD - SAKSIKAN DI LAYAR GERGASI DI INDERA MAHKOTA MALAM INI


Siapakah yang bakal menjulang Piala FA bagi Tahun 2014?  Jawapannya malam ini (Sabtu - 07 Jun 2014) di mana Pasukan Pahang akan bertemu pasukan bersatus Kelab iaitu Felda United di perlawanan akhir bertempat di Stadium Shah Alam mulai jam 08.45 malam.

KEADILAN Pahang sentiasa menyokong Tok Gajah di dalam memburu gelaran Juara Piala FA kali ini.  Kepada peminat-peminat bolasepak yang tidak berpeluang ke Stadium Shah Alam malam ini, anda boleh bersama-sama kami menyaksikan perlawanan sengit malam ini melalui tayangan skrin gergasi di perkarangan Pejabat Ahli Parlimen Indera Mahkota, Kuantan di IM 8/33 (bersebelahan McD Indera Mahkota).

Sila hebahkan kepada rakan-rakan anda untuk kita sama-sama menantikan keputusan perlawanan yang semestinya menarik malam ini. 

Wednesday, June 4, 2014

Sistem Subsidi Baru Petrol & Diesel: Risiko Penyelewengan Dan Kesan Berganda Kenaikan Harga Barang

Laporan-laporan berita yang mengesahkan bahawa Barisan Nasional sedang memuktamadkan satu sistem subsidi baru petrol dan diesel sudah tentu menimbulkan kegelisahan dan kebimbangan di kalangan rakyat.

Setakat ini, laporan-laporan berita memberi gambaran bahawa sistem subsidi baru petrol dan diesel itu akan beroperasi seperti berikut:

1. Subsidi petrol dan diesel hanya akan diberikan kepada golongan tertentu mengikut kadar pendapatan. Setakat ini, laporan menyebut jumlah pendapatan yang dipertimbangkan ialah RM5,000 ke bawah (bermakna bagi mereka yang berpendapatan RM5,000 ke bawah, mereka masih boleh membeli petrol dan diesel pada harga subsidi);

2. Bagi mereka yang berpendapatan di antara RM5,000 hingga RM10,000, pengguna hanya diberikan kuota bulanan tertentu untuk membeli petrol dan diesel bersubsidi. Sekiranya jumlah penggunaan melebihi kuota bulanan, pengguna perlu membayar harga pasaran;

3. Bagi mereka yang berpendapatan lebih RM10,000 sebulan, pengguna perlu membeli pada harga pasaran.

Saya kerap kali memberi amaran kepada Barisan Nasional supaya sebarang keputusan yang melibatkan kebajikan rakyat perlulah dibincangkan dan mengambil pandangan umum supaya keputusan itu tidak membelakangkan hasrat rakyat.

Rombakan sistem subsidi petrol dan diesel adalah satu keputusan besar yang akan mempunyai kesan mendalam kepada rakyat. Dalam keadaan harga barang terus meningkat dan tangga gaji masih belum berjaya dilonjakkan, sebarang perubahan yang drastik terhadap harga petrol dan diesel sudah tentu akan mempunyai kesan berganda kepada harga barang.

Oleh sebab itu, Barisan Nasional wajar membentangkan cadangan rombakan sistem subsidi petrol dan diesel ini ke Parlimen terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. Rakyat perlu diberikan masa yang secukupnya, sekurang-kurangnya satu tahun untuk memberi pandangan sebelum sistem baru subsidi petrol dan diesel ini berkuatkuasa, mengambil kira kesusahan yang telah pun dialami rakyat akibat kenaikan harga petrol, elektrik, gula dan barang-barang keperluan lain.

Berdasarkan maklumat yang dilaporkan setakat ini, saya khuatir sistem subsidi baru petrol dan diesel ini akan mewujudkan pasaran gelap yang menjual petrol dan diesel seperti berikut:

1. Kumpulan yang dibenarkan membeli petrol dan diesel pada harga subsidi boleh membeli secara kerap dan menyimpan petrol dan diesel ini;

2. Mereka kemudian menjual kepada ejen pasaran gelap yang membeli petrol dan diesel ini pada harga yang lebih tinggi;

3. Ejen pasaran gelap kemudian menjual petrol dan diesel ini pada harga yang lebih rendah dari harga pasaran kepada syarikat, pengusaha atau pun orang persendirian yang mahu mendapatkan harga petrol dan diesel pada harga yang lebih rendah.

Misalnya, jika harga subsidi satu liter petrol adalah RM2.10 dan harga pasaran adalah RM2.80 satu liter, pasaran gelap berikut boleh berlaku:

1. Kumpulan yang dibenarkan membeli petrol dan diesel pada harga subsidi menjualnya pada harga RM2.30 satu liter kepada ejen pasaran gelap;

2. Ejen pasaran gelap menjualnya pada harga RM2.50 satu liter kepada syarikat, pengusaha dan orang persendirian yang membeli dari pasaran gelap.

Jelas bahawa sistem subsidi baru yang dilaporkan mempunyai risiko ketirisan subsidi yang tersendiri, seperti mana sistem sekarang yang sering dipersalahkan oleh Barisan Nasional sebagai punca berlakunya penyeludupan.

Saya khuatir sekiranya sistem baru subsidi ini tidak diperhalusi dan dibincangkan secara terbuka, apabila dilaksanakan kelak ia mewujudkan pasaran gelap petrol dan diesel yang menimbulkan masalah baru yang lebih besar dari masalah penyeludupan sedia ada kerana ia melibatkan lebih ramai orang dan rakyat biasa.

Ini sudah tentu tidak berbaloi apabila dibandingkan dengan kepayahan yang dihadapi oleh rakyat akibat kenaikan harga petrol dan diesel serta kesan kenaikan berganda kepada harga barang, sedangkan ketirisan subsidi petrol dan diesel yang dijadikan alasan untuk menukar sistem makin berleluasa.

Oleh yang demikian, saya menggesa supaya Barisan Nasional membentangkan secepat mungkin segala butiran sistem baru subsidi petrol dan diesel ini serta dibahaskan di Parlimen dalam sidang yang bermula minggu depan, sebelum sebarang keputusan diambil.

Saya akan terus mengeluarkan kenyataan media dan menyemak keputusan Barisan Nasional mengenai rombakan sistem subsidi petrol dan diesel ini bermula hari ini.


RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

Sunday, June 1, 2014

PEMILIHAN DI CABANG PAYA BESAR DAN JERANTUT BERJALAN LANCAR

Semalam (31/5/2014), Cabang Paya Besar dan Jerantut telah mengadakan pemilihan di dalam parti setelah beberapa kali ditanguhkan.

Bagi Cabang Paya Besar, pemilihan bagi semua jawatan di Cabang dan juga di Pusat telah diadakan, termasuk bagi jawatan AMK dan Wanita.  Begitu juga Cabang Jerantut melainkan tiada pemilihan di peringkat Cabang.

Di Paya Besar, pertandingan Ketua Cabang dan Timbalan melibatkan dua penjuru.  Keputusan yang diperolehi bagi jawatan Ketua Cabang memperlihatkan Sdr Kamarzaman memperolehi 28 undi, manakala Sdr Jefri Jaafar pula memperolehi 20 undi.  Jawatan Timbalan pula, Sdr Siew Fook Chan memperolehi 28 undi dan Sdr Mazland mendapat 22 undi. 

Alhamdulillah, kedua-dua Cabang telah mengadakan pemilihan dengan baik, lancar dan teratur.  Ini membuktikan KEADILAN Pahang berjaya mengekalkan prestasi dan imej sebagai negeri yang berjaya melaksanakan pemilihan semua Cabang tanpa kejadian buruk atau perbuatan yang memalukan parti. 

Terima kasih dan syabas kepada semua ahli yang begitu berdisiplin sepanjang pemilihan diadakan sebelum ini.  Kerjasama semua pihak termasuk calon dan penyokong-penyokong yang bertanding telah membantu kejayaan kita bersama untuk menjaga imej parti.  

Mudah-mudahan selepas pemilihan ini, kita semakin kuat dan bersemangat untuk berjuang demi ugama, bangsa dan negara tercinta.