KLIK "STOP" UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

DENGAR RADIO KAMI?

SILA KLIK "STOP" PADA RADIO KOBAT FM UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Followers

Tuesday, June 28, 2016

ISU KAFIR HARBI - KENYATAAN MEDIA KEADILAN PAHANG



Sidang Media oleh YB Dato' Fauzi Abdul Rahman.  Turut sama adalah SU KEADILAN Pahang, Sdr Kamarzaman dan Ketua Penerangan, Sdr Zukri Aksah

KENYATAAN “KAFIR HARBI” OLEH DATUK SERI MUFTI NEGERI PAHANG

KEADILAN Negeri Pahang merujuk kepada kenyataan Sahibus Samahah Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman, Mufti Negeri Pahang seperti yang disiarkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 24 Jun 2016 (Jumaat). Datuk Seri Mufti dalam kenyataan itu secara jelas dan khusus mengklasifikasikan DAP, sebuah parti politik sebagai kafir harbi dan menghukum pula mana-mana pihak yang Islam yang bekerjasama dengan DAP adalah haram serta berdosa. KEADILAN Negeri Pahang merasa sangat terkesan dan gundah memikirkan bagaimana kenyataan sebegini boleh terbit dari kalam seorang Mufti yang punya taraf penghormatan yang tinggi, dalam sebuah negara yang aman politiknya ini. KEADILAN Negeri Pahang mengajak semua untuk mempertimbang pandangan yang bertentangan berdasarkan perkara-perkara berikut :-

1. Ilmuwan Islam dalam negara dari pelbagai sekolah pemikiran sangat memandang berat isu tuduhan kafir harbi ini. Ustaz Dr. Fathul Bahri Mat Jahya dalam blognya pernah menulis, "hukum kafir harbi ini bukanlah hukuman yang kecil, ia hukuman yang berat kerana kafir harbi ini sampai ke tahap dia boleh dibunuh. Oleh sebab itu jangan kita sewenang-wenangnya menuduh puak itu kafir harbi atau puak ini kafir harbi." Kenyataan Datuk Seri Mufti juga ditegur oleh seorang ahli akademik terkenal dari UIAM, Dr. Maszlee Malik yang menyifatkan kenyataan itu boleh membuka pintu keganasan dan pertumpahan darah. Datuk Dr. Haron Din, ketika masih menjawat jawatan Timbalan Mursyidul Am PAS, dalam mengulas isu yang hampir sama yang pada masa itu disensasikan oleh Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Kelantan, Abdullah Sa’amah mengatakan, "Kafir harbi ini merujuk kepada golongan yang perlu diperangi oleh orang Islam, saya menegaskan istilah kafir harbi ini hanya timbul dengan sendirinya apabila wujud sebuah pentadbiran negara Islam yang sebenar. Dalam konteks ini negara ini masih belum lagi memenuhi ciri-ciri sebuah negara Islam, justeru penggunaan istilah kafir harbi dan sebagainya tidak wujud." Sahibus Samahah Mufti Negeri Perlis, Profesor Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin sempat memperturunkan pandangan Dr. Yusuf al-Qaradawi lewat komentarnya dan menyimpulkan bahawa, "rakyat Malaysia yang bukan Muslim tidak boleh dikategorikan kafir harbi yang boleh diperangi dan halal darahnya ditumpahkan selagi mereka mempunyai ikatan hubungan dengan negara."

2. KEADILAN Negeri Pahang berpendapat bahawa hujah paling salah yang diutarakan oleh Datuk Seri Mufti Negeri Pahang dalam mengkategorikan DAP sebagai kafir harbi ialah bila mengaitkan tuduhan tersebut dengan dakwaan penentangan terhadap Rang Undang-undang Persendirian berkaitan Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016. Pertama, penentangan dan ketidakfahaman adalah dua perkara berbeza. Kedua, sikap mempertikai, secara lantang, bukan hanya datang dari DAP, tetapi juga dari MCA, MIC dan Gerakan, serta dari pemimpin politik Sarawak seperti Nancy Shukri, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan Tan Sri Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak sendiri. Adenan bahkan telah mengeluarkan arahan supaya semua ahli parlimen BN dari Sarawak menolak RUU tersebut. Ketiga dan yang paling penting, dengan mengguna-pakai istilah "penentangan" sebagaimana tuduhan Datuk Seri Mufti Negeri Pahang, maka ia bukanlah terhadap tindakan atau cadangan Islamik sebuah kerajaan yang dikuasai oleh orang Islam (Dar al-Islam), seperti Kerajaan Barisan Nasional. Pertikaian hanyalah terhadap satu usul persendirian yang dibawa secara bersendiri oleh seorang ahli parlimen yang bukan sebahagian dari parti yang memerintah pun!

3. KEADILAN Negeri Pahang percaya bahawa asas pembinaan negara pelbagai kaum dan agama ini adalah perjanjian penerimaan yang dipanggil kontrak sosial dan diserlahkan melalui fasal-fasal dalam Perlembagaan Persekutuan. Yang bersetuju untuk menjadi warganegara negara ini sudah pasti menerima bahawa Islam itu agama Persekutuan, Sultan-Sultan itu adalah Ketua Agama Islam negeri-negeri. Sebagai pulangan terhadap penerimaan fasal-fasal ini, semua rakyat negara ini tanpa mengira agama adalah warganegara yang sama tarafnya, tiada kelas kedua. Perjanjian penerimaan ini adalah mengikat, dan selagi tiada penentangan terhadap fasal-fasal umum ini, maka tidak ada dan tidak wujud golongan kafir harbi di negara ini.

4. KEADILAN Negeri Pahang juga percaya bahawa rakyat Malaysia yang menjadi pembayar cukai terdiri dari semua golongan, kaum, agama dan aliran politik. Hasil cukai negara sudah tentu sebahagiannya digunakan untuk pembangunan Islam dalam negara ini, sama ada di peringkat persekutuan atau negeri. Selagimana orang bukan Islam, secara sedar menerima keadaan ini dan tidak berlaku penentangan yang melampau, maka selagi itulah tidak wujud kafir harbi di negara ini. Namun harus diingatkan, atas nama keadilan Islam, bilamana hasil negara digunakan untuk pembangunan Islam, maka prasarana penganut-penganut agama lain tidak boleh disisihkan.

5. KEADILAN Negeri Pahang dengan ini mendesak Datuk Seri Mufti Negeri Pahang, berikutan dengan kenyataan kedua beliau yang mula teragak-agak dengan kenyataan pertamanya, supaya mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan pendirian sebenar beliau berkaitan dengan isu kafir harbi, ini kerana dalam konteks Negeri Pahang, negeri ini bukan sekadar negeri pelbagai kaum, pelbagai agama, malahan pelbagai aliran politiknya, di negeri ini ada pimpinan DAP dari kalangan Melayu yang beragama Islam.

6. KEADILAN Negeri Pahang percaya bahawa sesuatu masalah atau polemik tidak akan selesai dengan cara saling menuding jari, kumpulan itu begini, kumpulan ini begitu, orang itu begini, orang ini begitu. Kami percaya, dalam isu-isu sensitif sebegini, jalan terbaik adalah perbincangan dan muzakarah. Kami juga ingin menasihat supaya pihak-pihak di luar lingkungan politik tidak menjadikan satu kebiasaan untuk menuduh dari jauh mana-mana kumpulan politik dengan tuduhan-tuduhan tidak berasas tanpa terlebih dahulu bertemu dan berkenalan dengan pihak yang dituduh itu.

KEADILAN Negeri Pahang adalah anggota dalam pasukan besar yang bernama Pakatan Harapan, yang didalamnya dianggotai juga oleh DAP dan Amanah. Pasukan ini diikat dengan perjanjian, dan sudah tentulah perjanjian ini tidak melangkaui kehendak Perlembagaan Persekutuan yang antara lain menetapkan Islam adalah agama persekutuan. Kami percaya, selagi itu dipatuhi oleh mana-mana kumpulan politik pun di Malaysia ini, maka tidak wujud kafir harbi, dan kami dalam Pakatan Harapan akan saling bahu-membahu mempertahankan rakan sepasukan kami dari tuduhan-tuduhan liar tidak berasas yang secara jelasnya lebih condong mahu mengocak ketenangan hidup rakyat pelbagai kaum serta agama dalam negara tercinta ini.

Sekian.

Dato’ Fauzi Abdul Rahman
Pengerusi
Majlis Pimpinan Negeri
KEADILAN Pahang

Bertarikh: 27 Jun 2016

Wednesday, June 8, 2016

PRK Kuala Kangsar Dan Sungai Besar: Pengundi Diberi Pilihan Mengekalkan GST/Beban Hidup Atau Melaksanakan Ekonomi Rakyat; Dedah Satu Lagi Skandal Pembaziran Barisan Nasional



Saya kesal dengan kenyataan Tan Sri Wahid Omar, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang pada akhir khidmatnya pun masih lagi mempertahankan dasar-dasar yang dilaksanakan Dato’ Seri Najib Tun Razak yang terbukti membebankan rakyat. Tan Sri Wahid Omar dilaporkan berkata tindakan melaksanakan GST dan memotong subsidi adalah tepat kerana ia mengukuhkan ekonomi negara.

Saya menentang pemotongan subsidi yang bermula dari tahun 2010 pada awal penggal Dato’ Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri pada ketika beliau masih popular dengan rakyat kerana tindakan itu (memotong subsidi) memangsakan rakyat termiskin. Tanggungjawab sebuah kerajaan ialah membela golongan paling dhaif (“most vulnerable group”) dengan memastikan ekonomi berkembang secara adil; bukannya memotong peruntukan orang miskin untuk membayar hutang yang gagal dibayar orang kaya.

Atas dasar ini juga saya lantang menentang GST. Cukai ini menjadi satu perkara yang zalim kerana fakir miskin dipaksa membayar cukai yang sama dengan orang kaya untuk menutup lubang hutang kerajaan dek kerakusan orang-orang kaya elit membolot kekayaan negara.

Kenyataan Tan Sri Wahid Omar mengesahkan bahawa selagi Umno/Barisan Nasional menjadi kerajaan persekutuan, dasar-dasar yang menekan orang miskin demi membela orang kaya seperti pemotongan subsidi dan GST akan terus dilaksanakan kerana Umno/Barisan Nasional telah lama menjadi parti yang dikuasai orang-orang kaya elit.

Sebab itulah pilihanraya kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar kali ini sebenarnya menjadi medan untuk rakyat memilih satu dari dua sistem ekonomi yang jelas bertentangan:

i. Memilih Barisan Nasional bermakna pengundi Kuala Kangsar dan Sungai Besar memilih untuk mengekalkan sistem ekonomi yang pro orang kaya dan menekan rakyat terbanyak melalui GST, menghapuskan subsidi, memotong pembiayaan pendidikan rakyat dan lain-lain; atau

ii. Memilih Pakatan Harapan bermakna pengundi Kuala Kangsar dan Sungai Besar memilih untuk menghapuskan sistem ekonomi Barisan Nasional tadi dan memperkenalkan sistem ekonomi baru yang pro-rakyat (bermaksud menghapuskan GST, memberi subsidi kepada yang memerlukan, mendemokrasikan pendidikan dengan menawarkan pendidikan bermutu pada kos yang minima).

Bermula dari esok (Rabu, 8 Jun 2016) sehingga hari pengundian, saya akan berada di Kuala Kangsar atau Sungai Besar setiap hari untuk memastikan pengundi Kuala Kangsar dan Sungai Besar membuat pilihan berdasarkan pertimbangan bebanan rakyat yang saya hurai tadi.

Untuk memastikan pengundi Kuala Kangsar dan Sungai Besar tidak lupa bahawa kerajaan Barisan Nasional mengutip cukai GST dari rakyat sedang pembesar negara terus bermewah, mulai esok (Rabu, 8 Jun 2016) saya akan memulakan siri pendedahan yang baru. Saya pasti apabila rakyat mendapat tahu tentang satu lagi pembaziran melampau yang berlaku, ia akan dapat meyakinkan rakyat bahawa pilihan yang ada hanyalah menukar kerajaan persekutuan dengan mengundi calon Pakatan Harapan.

Saya akan mulakan siri pendedahan bersempena dengan PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar ini pada jam 12 tengahari di Bilik Operasi Utama Amanah/Pakatan Harapan di Kuala Kangsar. Pendedahan ini akan berterusan setiap hari sehinggalah hari-hari terakhir kempen.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN