KLIK "STOP" UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

DENGAR RADIO KAMI?

SILA KLIK "STOP" PADA RADIO KOBAT FM UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Followers

Wednesday, September 14, 2011

Isu dijajah: PKR dakwa kenyataan Majlis Profesor bodohkan rakyat

KUALA LUMPUR, 13 Sept — Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan kenyataan Majlis Profesor Negara (MPN) bahawa negara ini tidak pernah dijajah membawa kepada implikasi besar terhadap kedudukan kemerdekaan negara yang telah diraikan sejak 54 tahun lalu.

Ketua Penerangan Dr Muhammad Nur Manuty berkata kenyataan beberapa profesor juga menimbulkan persoalan baru sama ada negara benar-benar merdeka dan untuk “apakah kita meraikan kemerdekaan?”

“Dari satu sudut, ia seolah-olah memperbodohkan rakyat dengan menganggap bahawa rakyat tidak dapat membezakan hakikat bahawa negara kita ini pernah dijajah atau benar-benar dilindungi oleh British,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Kata beliau, PKR merakamkan rasa terkejut dan rasa aneh atas kenyataan sekumpulan ahli akademik yang diketuai Prof Dr. Zainal Kling atas nama MPN yang menegaskan bahawa negara ini hakikatnya tidak pernah dijajah oleh British.

Sebaliknya mereka mengatakan bahawa kehadiran British adalah semata-mata sebagai pelindung berasaskan perjanjian dengan raja-raja Melayu di ketika itu, kata beliau.

“Kenyataan tersebut jelas bercanggah dengan semua fakta sejarah yang ada. Umum menyedari bahawa istilah ‘protectorate’ yang diguna penjajah adalah strategi licik untuk mengelakkan penentangan rakyat sebagaimana yang dialami di negeri-negeri lain.

“Sebab itulah British telah meletakkan residen sebagai penasihat yang nasihatnya terpaksa diikuti oleh raja-raja Melayu. Dengan kaedah ini, British telah menguasai segala sumber ekonomi dan segala urusan negeri-negeri yang dikuasainya,” kata beliau.

Justeru, Muhammad Nur bertanya, “bukankah ini namanya penjajahan?”

“Bukankah ini yang mencetuskan penentangan pejuang-pejuang Melayu silam seperti Dato Maharajalela, Dato Bahaman, Tok Janggut, Rosli Dobi, Abdul Rahman Limbong, Dr. Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestamam, Ibrahim Yaakob, Abu Bakar Al-Bakir, Mat Indera dan lain-lainnya?” kata beliau.

Muhamad Nur juga menegaskan, PKR melihat bahawa kenyataan kontroversi di atas hanyalah merupakan langkah amat terdesak pendokong Umno dan para kuncunya dalam menghadapi kebangkitan dan kesedaran rakyat dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Sehubungan hal ini, kita amat kesal dengan tindakan beberapa ahli akademik yang sanggup menjatuhkan nilai diri sebegitu rupa sehingga sanggup membenarkan apa yang dilakukan penjajah demi menjamin survival tuan-tuan politik mereka.

“Dalam peradaban keilmuan, mereka yang berilmulah yang seharusnya memberi nasihat kepada ahli politik, bukan sebaliknya,” kata beliau lagi.

No comments:

Post a Comment