ANWAR IBRAHIM: ULAMA DAN IMPAK KEPADA UMMAH.
Ucapan Tahniah kepada Presiden Erdogan
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri yang sekarang telah dinobatkan sebagai bakal Presiden, Tayyip Recep Erdogan ke atas kemenangan cemerlang melalui Parti Keadilan dan Pembangunan (AK Party) pada pilihanraya presiden baru-baru ini.
Buat pertama kalinya dalam sejarah demokrasi Turki, pilihanraya seumpama itu diadakan (bagi melantik Presiden secara terus) dan ini menunjukkan betapa besar impak positif ke arah reformasi politik dan demokrasi. Saya yakin Turki telah mengambil langkah ke hadapan yang agong dengan membuktikan tanpa keraguan lagi bahawa demokrasi, kebebasan dan keadilan bukan saja serasi dengan Islam, bahkan amat penting demi kemajuan dan kesejahteraan ummah.
Peranan al Qaradawi sebagai 'Alim Mithali
Saya ingin mengambil peluang ini bagi menyatakan penghargaan tertinggi kepada al Fadhil Shaykh Dr Yusuf al-Qaradawi yang bukan saja merupakan autoriti terkemuka fiqh di dunia, tetapi bagi saya, beliau adalah seorang pejuang keadilan dan kebebasan pada ertikata Islam sebenarnya.
Beliau berhadapan dengan kezaliman, layanan buruk dan ketidakadilan berterusan daripada kuasa-kuasa samada dari negara asalnya dan negara-negara Arab lain. Beliau juga sering dihadapkan serangan secara sistematik ke atas watak dan peribadinya oleh Barat. Namun, Shaykh al-Qaradawi beriltizam dan istiqamah dengan pegangannya bahawa jika kita benar-benar tulus ikhlas berjuang untuk keamanan dan keadilan demi Islam, sesungguhnya kita hanya perlu takut kepada Allah s.w.t.
Kita amat berterima kasih ke atas sumbangan gigihnya untuk mengangkat martabat dan peranan ulama dalam dunia yang serba pantas berubah, dan di dalam proses itu telah menolong menggerakkan wacana Islam, Shari'ah dan keadilan ke suatu tahap yang bergema dan seiring dengan idealisme baru dan aspirasi generasi terkini.
Ulama dan Keadilan
Sepanjang sejarah tamadun Islam, ulama telah berperanan dan menduduki tempat yang penting bagi mencorakkan dan menentukan peristiwa yang menzahirkan impak secara langsung kepada ummah. Di dalam proses itu, mereka menyumbang besar kepada perubahan politik dan sosio-ekonomik dalam masyarakat Islam, ada yang untuk kebaikan dan ada pula yang sebaliknya.
Suatu ciri utama peranan ulama terdahulu dan yang masih berterusan adalah hubungan dan interaksi mereka dengan pihak berkuasa. Sejauh mana pengaruh mereka bergantung banyak kepada betapa rapat dan keakraban dengan pihak berkuasa.
Sejarah juga menunjukkan kemaraan atau kejatuhan ulama berada di tangan kerajaan yang memerintah. Kita semua tahu bahawa di bawah pemerintahan Mustafa Kemal pengaruh ulama di Turki hampir pupus.
Di Syria di bawah regim Ba'ath Hafiz al-Asad, para Islamis dibunuh berama-ramai dan keanggotaan di dalam jamaah Ikhwan al Muslimin dihukum sebagai jenayah berat dan dijatuhkan hukuman bunuh. Nasib yang sama ditimpa ke atas Ikhwan dan para ulama yang kuat menentang regim sekular dan diktator Mesir di bawah Gamal Abdel Nasser dan Anwar el-Sadat.
Ini sangat berbeda dengan Turki hari ini, di mana ulama mengambil semula tempat mereka dengan terhormat dan menyumbang aktif dalam wacana nasional bagi menggerakkan ummah kepada aras yang lebih tinggi.
Ulama yang tulen dan sejati mendapat penghormatan tertinggi kita kerana mereka berbakti dengan jiwa raga mereka di jalan perjuangan Islam dan keadilan. Mereka tidak takut kecuali kepada Allah s.w.t. Kita sebutkan ulama tulen kerana ada yang digelar 'ulama' atau menganggap diri mereka sebagai 'ulama' tetapi apabila diuji, ternyata bahawa mereka ini lebih takut kepada manusia daripada takut kepada Allah s.w.t.
Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian) tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Qur'an 'ali Imran 3:18)
Mereka yang disebutkan sebagai orang-orang berilmu adalah ulama sejati kerana mereka bukan sahaja 'ulul 'ilmi' malah 'qaa-imambilqisti'.
Oleh itu, ulama yang wajar diberi penghormatan yang tinggi adalah mereka, yang berada di atas landasan keadilan, berdiri tegak berhadapan dengan diktatur dan pemimpin yang zalim. Imam Yahya an-Nawawi adalah seorang di kalangan ulama yang benar.
Imam an Nawawi menolak permintaan Sultan al-Zahir Baibars supaya dia mengeluarkan fatwa bagi menyokong dan mengabsahkan penambahan cukai ke atas rakyat jelata untuk membiayai dana peperangan Sultan menentang puak Mongol. Sementara ulama lain menurut titah perintah Sultan, namun Imam an-Nawawi enggan dan memberitahu Sultan berkenaan bahawa Sultan memiliki hamba sahaya lelaki dan wanita di mana ada sejumlah emas dan barang kemas yang boleh dibelanjakan untuk membiayai dana yang diperlukan sebelum dikenakan cukai ke atas rakyat.
Kita semua ketahui akibat yang Imam an-Nawawi terpaksa tanggung atas pendirian tegasnya. Sultan menjadi murka dan menghalau Imam an Nawawi keluar daripada kota Damsyik.
Sebagai peringatan, Sultan berkenaan bukanlah calang-calang pemimpin dunia Islam. Dia adalah Sultan pertama dinasti Bahri Mamluk abad ke 13. Dia telah menewaskan tentera Salibiyyin – Crusaders pada tiga pertempuran besar dan dia telah memimpin tentera Islam yang mengalahkan puak Mongol pada pertempuran masyhur di Ain Jalut.
Pada segi governan, Sultan Baibars telah membina prasarana yang baik untuk kemajuan ummah dan memberikan perhatian khusus kepada pembangunan sains dan keilmuan Islam.
Namun Sultan Baibars tetap seorang manusia dan dia tidak maksum. Oleh itu, apabila ujian mendatanginya, Imam an-Nawawi membuat pilihan yang jelas dan tegas.
Mesir
Memerhatikan kepada perkembangan di Mesir, kita tahu bagaimana diktatur seperti Nasser dan Sadat telah bergantung kepada ulama Al Azhar untuk tampil di media kawalan kerajaan bagi melawan dan mengutuk Islamis dan pembangkang demokratik.
Kini, Revolusi 25 Januari telah memberikan peluang keemasan kepada rakyat Mesir untuk mengecapi dan menikmati ertikata kebebasan dan demokrasi. Malangnya, selepas dipilih secara demokratik sebagai Presiden, Dr Morsi tidak pernah diberikan ruang atau peluang bagi membawa Mesir ke aras selanjutnya kerana para pengkhianat revolusi serta musuh kepada kebebasan dan keadilan, giat berkomplot bagi mengembalikan Mesir kepada era kegelapan pra-demokrasi.
Pada 3 Julai tahun lalu, General Al-Sisi, dengan alasan kononnya bertindak atas kehendak rakyat jelata, mengadakan rampasan kuasa tentera. Ulama Timur Tengah dan Dunia Islam mengecam tindakan ini.
Malangnya, Sheikh al Azhar (jika berfatwa mengutuk rampasan kuasa sudah tentu akan memberikan impak besar) bertindak bertentangan dengan menyokong rampasan kuasa tentera. Adakah fatwanya dikeluarkan atas nama kebebasan dan keadilan? Atau adakah ianya di atas mendokong kezaliman dan ketidakadilan?
Sepertimana kita semua ketahui, rampasan kuasa ini diikuti dengan pemerintahan ganas – reign of terror. Beribu-ribu rakyat awam, wanita dan kanak-kanak dibunuh sementara Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan paling memalukan banyak negara-negara Arab berpeluk tubuh membiarkan sahaja pembantaian ini.
Ikhwan al Muslimin diisytiharkan sebagai organisasi teroris dan orang yang berjuang menuntut kebebasan serta demokrasi dihukum bunuh atau di penjarakan seumur hidup. Tiga orang wartawan daripada al-Jazeera telah ditahan tanpa bicara, merengkok dipenjara dan kemudiannya dijatuhkan hukuman berat oleh mahkamah sarkis – kangaroo court.
Gaza
Hakikat Gaza suram dan mengerikan. Sejak Julai 8, 2000 orang rakyat Palestin telah dibunuh dengan kejam oleh kerajaan Israel.
Atas alasan kononnya sebagai tindak balas kepada pelancaran roket-roket Hamas, pasukan bersenjata Israel melakukan fasa baru pembunuhan ramai – genosida yang telah menyebabkan kesengsaraan di luar batasan. Pembunuhan beramai-ramai orang awam Palestin dijalankan sewenang-wenangnya tanpa menghirau kecaman oleh seantero dunia.
Negara Israel disokong oleh kehebatan jentera propagandanya bersubahat dengan kesekongkolan media Barat, telah cuba untuk menjustifikasikan jenayah perang yang dilakukannya dengan memomokan Hamas, yang dipamerkan sebagai organisasi teroris dan memaparkan pengeboman bertubi-tubi Israel ke atas penduduk awam Gaza sebagai tindakan mempertahankan diri.
Pertama, Hamas adalah pertubuhan yang telah dipilih secara demokratik oleh rakyat Palestin. Kedua, baru pada April lalu, Hamas bersatu dengan Fatah dan kumpulan Palestin lain untuk bekerjasama bagi mencapai perdamaian. Mereka menyepakati prinsip asasi bagi perjuangan secara aman, status Israel dan mematuhi perjanjian yang telah dipersetujui sebelumnya.
Ini bukanlah tindak tanduk pertubuhan teroris. Bekas presiden AS Jimmy Carter memperakukan bahawa ini adalah tindakan sah parti politik, yang mewakili sebahagian besar rakyat Palestin, yang komited kepada perdamaian.
Sebenarnya, Israel telah menolak peluang keemasan bagi mencapai keamanan. Tiada sebarang putar belit dapat membenarkan cara tentera Israel melepaskan bedilan-bedilan bom dan pelancaran peluru-peluru berpandu ke atas Gaza, memusnahkan beribu-ribu rumah dan menjadi 250,000 orang penduduk Palestin menjadi pelarian. Israel juga mengebom masjid-masjid, sekolah-sekolah dan pusat-pusat perlindungan Pertubuhan Bangsa Bersatu.
Adalah jelas sekali siapakah sebenarnya teroris. Adalah terang siapakah sebenarnya yang menjalankan penghapusan etnik. Adalah nyata siapakah sebenarnya yang sedang cuba melenyapkan sebuah bangsa daripada permukaan bumi ini.
Kefanatikan mesti dikutuk
Kini, konflik sektarian di Timur Tengah semakin meledak. Kita menyaksikan pertambahan keganasan dan lebih banyak pembunuhan brutal.
Dengan dokongan pihak luar, kemunculan ISIS dan pengisytiharan khilafah Islam di wilayah utara Iraq dan timur selatan Syria serta kekejaman yang dilakukan di atas nama Islam adalah contoh kelasik betapa kefanatikan agama menjadi buas dan liar.
Walauapapun puncanya, pada kesudahannya, mangsa-mangsa pesta keganasan, pembunuhan dan pertumpahan darah ini adalah orang awam yang lemah, wanita dan kanak-kanak yang tidak dapat mempertahankan diri.
Jihad Sebenar
Konflik-konflik ini mempunyai kesan yang menjangkaui Timur Tengah. Peranan ulama amat penting. Dunia Islam mesti bertindak dengan tuntas. Kekejaman ISIS mesti dikutuk dan dikecam samasekali. Samada di atas nama Sunni atau Syiah atau mazhab lain, pembunuhan sembarangan tidak boleh dibenarkan. Ulama mesti berusaha dengan sesungguhnya untuk mempengaruhi dan membenteras kumpulan-kumpulan ekstremis.
Begitulah juga dengan kumpulan-kumpulan pelampau seperti Boko Haram dan al-Shabab yang terus menyebarkan keganasan dan teror di dunia. Ulama mesti mengutuk mereka dan pertubuhan-pertubuhan ekstrem seumpamanya dan menegaskan bahawa kumpulan-kumpulan ini adalah sebenarnya musuh Islam.
Kumpulan-kumpulan pelampau ini yang gemar mencanangkan label-label hukum Shari'ah dan dawlah Islam, sedang merampas agama Islam bagi membenarkan tindakan mereka yang sesat, gasar dan tidak bertamadun. Bukanlah kesucian atau ma'ruf jika menyembelih orang kerana mereka enggan memeluk agama Islam. Bukanlah jihad jika memperkosa wanita atau menculik gadis-gadis pelajar daripada sekolah atau rumah mereka, dan diperlakukan mereka sebagai barangan tebusan.
Bukanlah khilafah Islam atau dawlah Islam jika dibina atas mazbah pertumpahan darah, keganasan dan kebencian. Inilah ciri-ciri yang dijauhi dan ditolak oleh Islam.
Ulama mesti memprakarsai jihad yang tulen dan baru bagi menuntut dan menawan semula apa yang telah direbut dan diragut oleh penjenayah dan pembunuh.
Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan. (surah al-mujaadila 58:11)
(Ucapan Anwar Ibrahim pada sesi perasmian Persidangan Ulama Antarabangsa di Istanbul 20 Ogos 2014 yang disunting dan diterjemah)