Semalam, pada 16 April 2017 (Ahad), KEADILAN Cabang Bera telah mengadakan tiga program serentak melibatkan KEADILAN Negeri (JPRN) serta AMK Negeri dan Cabang. Kesemua program ini diatur adalah bagi memperkuatkan jentera pilihanraya KEADILAN Cabang Bera di samping melatih petugas-petugas pilihanraya bagi menghadapi PRU14 akan datang yang dijangkakan akan lebih sukar berbanding sebelumnya.
Program pertama adalah Bengkel Latihan Sistem Pengurusan Pilihanraya (SPERA) anjuran JPRN dengan bantuan JPRP bermula jam 09.00 pagi sehingga jam 02.00 petang bertempat di Pejabat KEADILAN Cabang Bera. Bengkel ini dikendalikan oleh dua tenaga pengajar dari JPRP dan SUK KEADILAN Pahang. Seramai 27 peserta telah hadir mewakili Cabang-Cabang seluruh Negeri Pahang. Turut hadir adalah Pengarah Pilihanraya Negeri (JPRN) Tuan Hj Abas serta Setiausaha KEADILAN Negeri, Sdr Kamarzaman Mohamed Yunus dan Ketua-Ketua Cabang. Taklimat rengkas diberikan oleh Pengarah Pilihanraya Negeri dan juga Ketua Cabang Bera, Sdr Zakara Abdul Hamid sebelum bengkel bermula.
|
Sebahagian dari para peserta |
|
Pimpinan Negeri dan Cabang yang turut hadir |
|
Peserta mendaftar untuk penggunaan SPERA. |
Tujuan bengkel ini adalah untuk mendedahkan kepada semua petugas pilihanraya di bawah Pengarah Pilihanraya Cabang di dalam mengendalikan sistem SPERA yang baru diperkenalkan. Sistem ini amat penting di dalam membantu gerak kerja pilihanraya khususnya di dalam mengenalpasti kedudukan pengundi-pengundi di peringkat Parlimen mahu pun Dun yang ditandingi. Selepas bengkel secara teori, semua peserta di bahagikan kepada beberapa kumpulan untuk melakukan kerja culaan secara praktikal menggunakan SPERA di beberapa lokasi yang ditentukan.
|
Peserta-Peserta bergambar sejurus selesai Bengkel |
Selesai melaksanakan tugas culaan, semua peserta dikumpulkan semula untuk menyampaikan maklumat apa yang mereka perolehi dari penugasan tersebut. Akhir sekali, selaku Tuan Rumah, Ketua Cabang Bera, Sdr Zakaria Abdul Hamid telah menyampaikan cenderahati berbentuk hamper kepada semua Tim atau kumpulan. Bengkel seterusnya akan diadakan di Kuantan di bawah anjuran KEADILAN Cabang Kuantan pada 29 April 2017.
Program seterusnya di Bera pada hari yang sama adalah melibatkan AMK. AMK mengadakan aktiviti di sebelah petang bermula jam 3.00 petang dengan pendaftaran keahlian, pendaftaran pengundi baru serta bersama anak muda 'Menukar Minyak Hitam Motorsikal|" secara percuma. Program ini adalah anjuran AMK Cabang dan Negeri. Ketua AMK Negeri, Sdr Wong Chun Yuan turut hadir di dalam program tersebut. Program ini bertujuan untuk merapatkan hubungan dengan anak-anak muda khususnya di samping membantu mereka untuk mendaftar sebagai pengundi.
|
Program Tukar Minyak Injin Motorsikal |
|
Pendaftaran Keahlian dan Pengundi Baru |
Pada sebelah malam pula, AMK mengadakan majlis BBQ dan ceramah Pentas Anak Muda di Simpang Kerayung, Bera. Program ini telah dihadiri oleh Timbalan Ketua AMK Pusat yang juga Exco Kerajaan Negeri P.Pinang, YB Dr Afif Bahardin. Turut hadir adalah Ketua AMK dari Negeri Sembilan dan wakil AMK dari Selangor.
|
Dr Afif turut bersama membakar ayam untuk BBQ |
Ceramah Pentas Anak Muda diadakan di Simpang Kerayung, Bera. Beberapa wakil dari AMK dari Negeri Sembilan dan Selangor telah menyampaikan ucapan mereka. Selain itu, Pengarah Komunikasi Negeri, Sdr Wan Fauzuldin mewakili MPN turut berucap. Timbalan Ketua Cabang Bera merangkap Ketua Biro Orang Asal, Sdr Bob Monalan juga diberi peluang untuk berucap. Sdr Zakaria Abdul Hamid selaku Ketua Cabang Bera juga menyampaikan amanatnya kepada anak-anak muda. Beliau menyeru agar anak-anak muda agar bangkit untuk melakukan perubahan kerana masa hadapan negara ini terletak di tangan anak-anak muda. Generasi kedua felda harus membela nasib warga felda kini yang semakin menderita akibat kebobrokan pimpinan Umno/Bn.
Sebelum penceramah utama, Timbalan Ketua AMK Pusat yang juga Exco Kerajaan Negeri P.Pinang, YB Dr Afif Bahardin tampil ke pentas, wakil AMK Bera menyampaikan Deklarasi AMK Bera. Isi kandungan yang terdapat di dalam Deklarasi AMK Bera disimpulkan seperti berikut:
1. Membantah Cukai GST yang membebankan rakyat.
2. Menuntut pendidikan percuma.
3. Menuntut kemudahan pinjaman perumahan melalui kerajaan, bukannya melalui bank-bank komersial yang sering mengaut keuntungan.
4. Mewujudkan peluang-peluang pekerjaan terutamanya kepada anak-anak muda di luar bandar.
5. Mendesak agar peluang-peluang pekerjaan diberikan kepada anak-anak tempatan bukannya kepada warga asing.
|
Sdr Wan Fauzuldin, mewakili MPN berucap |
|
Ketua Cabang Bera, Sdr Zakaria sedang menyampaikan ucapan |
Penceramah utama, YB Dr Afif di dalam ucapannya banyak menyentuh tentang kebajikan yang diperolehi oleh rakyat P.Pinang di bawah kerajaan Pakatan Harapan yang dipimpin oleh YAB Lim Guan Eng. Beliau turut mengingatkan tentang taktik dan propaganda Umno/Bn melalui media perdana kawalan mereka yang saban hari memburuk-burukkan kerajaan P.Pinang. Isu agama dan perkauman didendangkan untuk meracuni pemikiran orang-orang Melayu kononnya Melayu dan Islam tertindas di negeri tersebut. Walhal, apa yang sebenarnya yang cuba dilindungi oleh Umno/Bn adalah betapa kerajaan negeri P.Pinang amat peka dengan permasalahan rakyat semua kaum tidak mengira ugama dan usia.
|
YB Dr Afif sedang berucap |
Bantuan kepada pelajar-pelajar, warga-warga emas, ibu-ibu tunggal, pelajar-pelajar Tahfiz dan pondok-pondok pengajian Islam, Guru-Guru KAFA, penarik beca, isteri-isteri yang tidak bekerja, dan banyak lagi kebajikan untuk rakyat telah dilakukan oleh kerajaan negeri yang gagal dilaksanakan oleh negeri-negeri di bawah Umno/Bn. Di P.Pinang, tiada lagi kemiskinan tegar di mana kerajaan negeri sentiasa membantu rakyat di negeri tersebut agar tidak berada di bawah paras kemiskinan tegar.
Beliau menyeru kepada anak-anak muda agar menggunakan hak dan kuasa mereka untuk melakukan perubahan di dalam PRU14 akan datang. Beliau yakin, Negeri Pahang akan mencapai kemajuan dan kesejahteraan sepertimana yang dinikmati oleh rakyat di Negeri P.Pinang dan Selangor sekarang sekiranya anak-anak muda mampu melakukan perubahan.
KEADILAN Negeri Pahang mengucapkan syabas dan tahniah kepada KEADILAN Cabang Bera dan semua pihak yang telah menjayakan program serentak semalam.