KEADILAN Pahang amat bertuah kerana dapat mengekalkan kestabilan dan perpaduan di kalangan semua peringkat pimpinan. Jangkaan ramai pihak yang menyatakan sejurus selepas pemilihan di dalam pucuk pimpinan parti yang menyaksikan KEADILAN Pahang bersama meraikan amalan demokrasi dan kebebasan membuat pemilihan, tentu sedikit sebanyak berlakunya perpecahan di kalangan pimpinan di negeri ini.
Ternyata jangkaan itu meleset samasekali. Alhamdulillah, semua pimpinan di peringkat negeri dan Cabang amat profesional dan memahami erti demokrasi yang diamalkan di dalam parti. Pemilihan yang lalu menyaksikan tiada calon yang dapat memonopoli sokongan penuh dari negeri ini, kesemua calon di peringkat Pusat mendapat perhatian dari para pengundi dan ahli-ahli KEADILAN di negeri ini.
Sejurus selepas pemilihan dan keputusan dimuktamadkan, KEADILAN Pahang akur dengan kehendak ahli-ahli yang membuat pilihan. Keputusan ramai perlu dihormati kerana pertandingan ini umpama pertandingan adik beradik yang mahu menyumbangkan jasa bakti di dalam parti ini. KEADILAN Pahang bersatu hati dan bertambah jitu selepas pemilihan.
Apakah di antara faktor penyumbang kepada perpaduan seerat ini? Faktor terbesar adalah kerana kami meletakkan insiprasi parti yang dibawa oleh tokoh yang kami sanjungi, Dato' Seri Anwar Ibrahim berada di atas segalanya dari kepentingan peribadi. Kami tidak sanggup mengecewakan tokoh reformasi ini yang telah begitu lama berjuang dan berkorban segala-galanya untuk parti tercinta ini. Itu lah faktor penyatuan kami di samping ketegasan dan toleransi yang ditunjukkan oleh Pengerusi KEADILAN Negeri, Dato' Fauzi Abdul Rahman.
Sehubungan itu, MPN telah mengarahkan sebarang program yang diatur dan dijalankan hendaklah meletakkan Ketua Umum sebagai inspirasi dan penyuntik semangat bersama. Setiap poster atau banner dalam apa jua program diwajibkan meletakkan gambar Dato' Seri Anwar Ibrahim walaupun beliau kini terpenjara. Kami memahami niat rejim memenjarakan beliau adalah untuk melupakan rakyat dari mengingati kezaliman yang dilakukan terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim.
KEADILAN Pahang akan terus bersama kepimpinan Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Presiden, serta akan bersama-sama kepimpinan pusat yang lain bagi menentukan kesinambungan perjuangan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Beliau adalah sumber penyatuan dan perpaduan.
No comments:
Post a Comment