KLIK "STOP" UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

DENGAR RADIO KAMI?

SILA KLIK "STOP" PADA RADIO KOBAT FM UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Followers

Friday, February 13, 2015

KENYATAAN MEDIA KEADILAN PAHANG - KES FITNAH LIWAT II


KENYATAAN MEDIA

Tanggal 10 Februari 2015, merupakan hari yang kelam buat negara.  Sungguh pun tidak terlalu mengejutkan apabila Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Dato' Seri Anwar Ibrahim di dalam kes Fitnah Liwat II dan menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun kerana stigma kebebasan kehakiman diragui semenjak dari peristiwa pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan hakim-hakim lain.  

Penghakiman kes ini dilihat sebagai tidak menepati prinsip undang-undang yang unggul dan 'established'.  Hal ini boleh dilihat dari komen-komen yang diberikan oleh para peguam terkemuka seperti Queen's Counsel Mark Trowell  yang hadir bagi pihak Inter-Parliamentary Union (IPU) di mana beliau menegaskan Mahkamah Persekutuan telah terkhilaf di dalam membuat keputusan memenjarakan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Mark Trowell menyifatkan keputusan tersebut "superficial, failing to adequately deal with key issues brought up by the defense team".  Beliau berpandangan Ketua Hakim Negara, Yang Arif Arifin Zakaria telah gagal berikan perhatian dan mempedulikan keraguan terhadap integriti sampel DNA.

Begitu juga kenyataan Presiden Majlis Peguam Malaysia yang menyatakan terdapat kejanggalan di dalam kes tersebut.

Pada masa yang sama kecaman-kecaman daripada masyarakat antarabangsa yang menegaskan bahawa Dato' Seri Anwar Ibrahim menjadi mangsa kepada kerakusan dan konspirasi politik musuh beliau.

Berdasarkan kepada pandangan-pandangan tersebut dan meneliti perjalanan kes ini serta kes Liwat 1 pada tahun 1998, KEADILAN Pahang mengecam keputusan Mahkamah Persekutuan yang dilihat telah gagal mempertahankan prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang.  Malah, kami percaya bahawa kes ini tidak lebih dari konspirasi politik dan fitnah jahat yang mempergunakan Institusi Kehakiman untuk membunuh karier politik Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dianggap sebagai musuh nombor satu pemimpin-pemimpin tertentu di negara ini.

Kami sependapat dengan pandangan IPU yang disuarakan oleh Queen's Counsel Mark Trowell dan pendapat Majlis Peguam Malaysia.

Kami menegaskan bahawa hukuman penjara ke atas Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak akan sekali-kali melemahkan semangat dan daya juang rakyat, malah akan menyemarakkan iltizam dan semangat juang rakyat untuk menegakkan keadilan.  Sehubungan dengan ini, kami telah menyusun program-program penerangan ke seluruh pelusuk negeri Pahang bagi menjelaskan kepada rakyat konspirasi dan fitnah terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Kami juga mengambil catatan di atas penjelasan Pejabat Perdana Menteri untuk meyakinkan rakyat berkenaan 'tercepatnya' kenyataan resmi dikeluarkan dari JPM berkenaan hukuman yang dijatuhkan sedangkan kehakiman belum memuktamadkan penghakiman.

Kami memberi amaran kepada JPM agar tidak perlu berbuat demikian, malahan lebih baik meyakinkan diri mereka sendiri bahawa tetap wujud pemisahan kuasa antara "pentadbiran dengan kehakiman".  Bagi kami, jelas tiada.

Kepada Presiden Parti, Kak Wan dan keluarga, yakinlah anda tidak bersendirian.  Jutaan rakyat di luar sana bersama anda.  Sesungguhnya janji Allah, pasti ada hikmah di sebalik lipatan bala.

Akhirnya, kami mengulangi iltizam kami untuk terus memperjuangkan impian Dato' Seri Anwar Ibrahim dan pembebasannya.

"Kepada pelaku-pelaku komplot jahat ini, yakinlah bahawa Allah Maha Mengetahui, Maha Bijaksana, Maha Cepat Hisabnya dan amat pedih akan seksanya.  Kami tetap yakin bahawa ada di antara pelaku-pelaku  ini dibayar tunai oleh Allah SWT dan menerima pembalasan dalam tempoh kehidupannya di dunia lagi".

Sekian, terima kasih.


YB DATO' FAUZI ABDUL RAHMAN
Pengerusi MPN 
KEADILAN Negeri Pahang

11 Februari 2015


No comments:

Post a Comment