KLIK "STOP" UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

DENGAR RADIO KAMI?

SILA KLIK "STOP" PADA RADIO KOBAT FM UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Followers

Saturday, December 22, 2012

BEKUKAN SAMAN AES MENGELIRUKAN

Oleh :Md Izwan dan Nomy Nozwir

KUALA LUMPUR, 21 Dis—Keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan semua prosiding mahkamah berkaitan saman kamera sistem penguatkuasaan automatik (AES) dibekukan mengelirukan pengguna jalan raya, kata ahli parlimen.

Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) bersatu dalam menuntut Putrajaya menjelaskan sama ada mereka menjalankan satu kajian penuh dengan implikasi undang-undang atau tidak sebelum tergesa-gesa melancarkan sistem kamera perangkap kelajuan, dilihat sebagai penswastaan penguatkuasaan undang-undang trafik untuk memperkayakan syarikat-syarikat tertentu yang rapat dengan kerajaan.

“Tidakkah unsur-unsur perundangan yang kini menggendalakan pelaksanaan AES tidak dikenalpasti oleh Peguam Negara (AG) selama ini sebelum pelaksanaan AES?” tanya Datuk Seri Ong Tee Keat yang sebelum ini merupakan menteri pengangkutan.

Pemimpin MCA itu berkata walaupun AG Tan Sri Abdul Gani Patail mempunyai kuasa untuk membekukan pendakwaan kepada pesalah jalan raya, beliau menegaskan, “perlu ada penjelasan mengenai kes-kes yang dibawa ke mahkamah dan di mana beberapa pesalah sudah membayar kompaun mereka”.

“Apakah bayaran itu akan dikembalikan nanti?” tanya Ong, menambah suara kepada kritikan terhadap sistem RM700 juta yang bermula pada bulan September dengan fasa perintis 14 kamera.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berikrar untuk melancarkan sebanyak 831 kamera menjelang akhir 2013 untuk menangkap pemandu laju dan mencegah lebih banyak kematian di jalan raya.

AGC mengarahkan semua prosiding mahkamah berkaitan dengan saman AES dihentikan untuk mengkaji isu-isu undang-undang yang dibangkitkan walaupun berkata saman masih sah, dalam satu kenyataan dikeluarkan pada 18 Disember.

Ahli parlimen Kuala Selangor (PAS) Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu The Malaysian Insider keputusan pembekuan tersebut mengelirukan orang ramai dan penjelasan untuk menjustifikasikan penggantungan pendakwaan hanya membuktikan terdapat kelemahan penguatkuasaan undang-undang lalu lintas.

“Orang ramai sudah keliru sekarang,” katanya.

“Mereka yang disaman di bawah AES tidak mendapat saman tetapi hanya notis ... Jadi di sini, terdapat kelemahan dalam undang-undang AES,” kata ahli parlimen Kuala Selangor itu.

Rakan Dr Dzulkefly dari DAP, Tony Pua, berkata keadaan huru-hara ke atas penguatkuasaan trafik adalah kerana kerajaan tergesa-gesa untuk melancarkan AES tanpa pertimbangan implikasi undang-undang.

“AES telah dilaksanakan dengan tergesa-gesa.

“Tanpa sebarang pertimbangan, tanpa memikirkan tentang mekanisme undang-undang. Dan apabila anda tidak berfikir tentang mekanisme undang-undang, inilah yang berlaku,” kata ahli parlimen Petaling Jaya Utara itu.

The Malaysian Insider melaporkan sebelum ini Putrajaya mempertimbangkan untuk menggantung pelaksanaan sistem kerana saman berganda dengan perangkap kelajuan polis di sepanjang lebuh raya.

Difahami Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha adalah salah satu daripada beberapa menteri yang mempertahankan pelaksanaan AES di belakang tabir.

Pihak polis, yang menguatkuasakan undang-undang hadlaju berkata, mereka akan meneruskan penguatkuasaan dan meletakkan perangkap kelajuan mudah alih berhampiran kamera AES, meningkatkan prospek saman berganda untuk pemandu ingkar./MI

No comments:

Post a Comment