KLIK "STOP" UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

DENGAR RADIO KAMI?

SILA KLIK "STOP" PADA RADIO KOBAT FM UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Followers

Monday, September 28, 2015

AMK ALU-ALUKAN PEMBENTUKAN PAKATAN HARAPAN

Angkatan Muda KEADILAN mengalu-alukan pengumuman pimpinan KEADILAN, DAP dan AMANAH berkenaan pembentukan pakatan pembangkang baru, iaitu Pakatan Harapan. Kami percaya ini adalah rangka kerja terbaik untuk pelbagai parti ini bergerak maju ke hadapan.

Yang paling penting pada ketika ini adalah perpaduan.

"Perpaduan" ini lebih daripada hanya bersetuju untuk mentadbir bersama beberapa kerajaan negeri atau untuk mengelak daripada bertanding kerusi yang sama ketika pilihanraya; walaupun perkara-perkara ini juga amatlah penting.

Lebih daripada itu, "perpaduan" juga membawa maksud membangunkan, mempromosi serta bergerak menuju satu agenda bersama yang boleh disokong oleh rakyat Malaysia.

Kita mestilah bersetuju tentang bagaimana jalan terbaik untuk melaksanakan perkara ini.

Pada masa ini kita telah terkesan oleh pemecahbelahan parti.

Oleh itu kita dilihat sebagai lemah, sedangkan pihak kerajaan persekutuan sedang dihantui pelbagai skandal dan mereka juga sekarang berpuak-puak.

Kita sepatutnya boleh buat lebih baik.

Rakyat Malaysia juga berhak mendapat yang lebih baik daripada kita.

Setiap 5.6 juta rakyat Malaysia yang telah mengundi kita - majoriti pada Pilihanraya Umum yang lalu - mengharapkan suatu pimpinan yang berketerampilan.

Ini tidak mungkin berlaku jika kita hanya berminat untuk berbalah sesama sendiri dan bukannya fokus menumbangkan kerajaan UMNO-Barisan Nasional.

Kesemua rakyat Malaysia sedang merasakan keperitan di atas kegagalan kerajaan BN ini mentadbir negara.

Namun begitu mereka tidak akan menyokong kita jika apa yang kita tawarkan tidak berbeza dengan kerajaan BN.

Kita tidak boleh jangka bahawa kita akan terus kekal berkuasa di negeri-negeri yang sedang ditadbir, apatah lagi untuk mengambil-alih Putrajaya, jika kita tidak boleh menyampaikan suatu visi untuk menggerakkan negara ke hadapan di kalangan para pengundi.

Rakyat Malaysia sedang memerhatikan kita dengan harapan kita membawa pimpinan baru.

Jadi kita mestilah berusaha mencapaikan hasrat itu dan maju ke hadapan.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN

Saturday, September 12, 2015

MATC SEMUA CABANG KEADILAN DI PAHANG BERMULA

Mesyuarat Agong Tahunan Cabang bagi setiap Cabang KEADILAN seluruh negeri Pahang telah pun bermula mulai bulan September hingga Oktober  ini.  

Berikut adalah jadual MATC bagi setiap Cabang yang telah ditetapkan:

KUANTAN   

27/9/2015 ( 02.00 Ptg) - Pusat Khidmat MP Kuantan - Perasmian oleh YB Chean Chung, Adun Semambu

INDERA MAHKOTA  

20/9/2015 (02.00 Ptg) - Pusat Komuniti Dun Semambu - Perasmian Oleh YB Manivanan, MP Kapar

PEKAN                        

27/9/2015 (02.45 Ptg) -  AF 89, Kg Pulau Rumput, Pekan - Perasmian Oleh Sdr Jamil bin Yaakob,        KC Temerloh

PAYA BESAR              

20/9/2015 (03.00 Ptg) - Pej Ranting Tmn Tas - Perasmian Oleh Sdr Rabidin Kasmawi, KC Rompin

ROMPIN                     

13/9/2015 (02.30 Ptg) - 291, Felda Keratong 6, Bandar Tun Razak - Perasmian Oleh Sdr Boestamin Bakar, Naib Pengerusi Negeri.

MARAN                      

16/9/2015  (02.30 Ptg) - Pej Cabang Maran  - Perasmian Oleh YB Senator Siti Aishah, Ahli MPP

BERA                           

26/9/2015 (07.45 Mlm) - Dewan Seminar, No. 13, Jln Kerayong Impian, Tmn Kerayong - Perasmian Oleh Tuan Hj Abas Awang, Ahli MPP

KUALA KRAU          

 26/9/2015 (03.00 Ptg) - No. 68, Kg Paya Luas, K. Krau - Perasmian Oleh Sdr Razali Ithnin, KC Jerantut

TEMERLOH                

13/9/2015 (03.00 Ptg) - Seminar Hall, Tmn Gopeng, Mentakab - Perasmian Oleh Sdr Azmi Zainon,
KC K.Krau

BENTONG                 

27/9/2015 (03.00 Ptg) - Hotel Tras Mutiara, Jln Bentong-Raub - Perasmian Oleh  YB Zuraida Kamarudin, 
Ketua Wanita Pusat

JERANTUT                  

19/9/2015 (03.00 Ptg) - Dewan Seminar, Delima Cafe, Jerantut - Perasmian Oleh Sdr Zakaria Abd Hamid, 
Ahli MPP

LIPIS                            

26/9/2015 (10.00 Pagi) - Rest House Lama, Bukit Presiden, Bandar Lipis - Perasmian Oleh Sdr Tan Wei Wun, KC Cameron Highland
RAUB                          

04/10/2015 (03.00 Ptg) -  Sempam Meeting Centre, Kg Sempam, Raub - Perasmian Oleh Puan Dasimah Zainudin, Ketua Wanita Negeri

CAMERON HIGHLAND                 

04/10/2015  (03.00 Ptg) - Pej Cabang Cameron Highland - Perasmian Oleh Sdr Wan Fauzuldin Wan Samad, Ketua Penerangan Negeri

Sehubungan itu, semua ahli di setiap Cabang berkenaan dijemput hadir mesyuarat tahunan tersebut.  Sebarang permasalahan Cabang serta persiapan dan gerak kerja parti akan dapat dibincangkan bersama.                                   
       

Friday, September 4, 2015

RAFIZI DAN SAIFUDDIN NASUTION BONGKAR DI PENTAS KITA LAWAN DI KUANTAN PADA 05 SEPT (SABTU) INI


Lawan Tetap Lawan !!  Kata-kata keramat ini akan terus direalisasikan selagi keadilan tidak dapat ditegakkan dan kezaliman rejim ini berterusan.

Program Ceramah "Pentas #Kita Lawan" akan diadakan di Perkarangan Pusat Komuniti Adun Semambu, Jalan Hj Ahmad, Bukit Sekilau, Kuantan (berhadapan dengan stesen minyak Petronas) pada 05 September 2015 (Sabtu) jam 09.00 malam.  

Penampilan pemidato hebat seperti YB Rafizi Ramli (MP Pandan/Naib Presiden/SUA KEADILAN), Sdr Saifuddin Nasution Ismail (Pengarah Pilihanraya KEADILAN Pusat) dan juga Sdr Fariz Musa (Ahli MPP/ SU Pengelola KEADILAN Pusat/Pengerusi Jingga 13) pastinya memanaskan pentas ceramah malam itu.

Program malam itu nanti akan turut dipanaskan oleh pimpinan-pimpinan negeri iaitu YB Dato' Fauzi Abdul Rahman (MP Indera Mahkota/Pengerusi MPN Pahang), YB Fuziah Salleh (MP Kuantan), YB Lee Chean Chung (Adun Semambu/Ketua Penerangan AMK Pusat) dan juga YB Sim Choon Siang (Adun Teruntum).  

Orang ramai dijemput hadir dan mohon hebahkan.


Tuesday, September 1, 2015

NEGARA KU DI HIMPUNAN BERSIH4



Antara sebab mengapa manusia tidak berminat dengan agama bukan kerana malasnya mereka untuk mengaji, namun atas faktor agamawan yang sangat cepat menghukum dan pandangan serong agamawan terhadap sesuatu perkara tanpa dilihat dengan kaca mata yang lebih besar.

Dahulunya diharamkan Bersih kerana dakwaan merosakkan harta benda awam, sampah sarap dan gangguan perniagaan, namun setelah semua dakwaan itu meleset, maka, dicarinya pula kesalahan-kesalahan lain, yang mana kesalahan-kesalahan ini langsung tiada kaitannya dengan Bersih, sebagai satu gerakan yang disepakati bersama oleh rakyat.



Dikaitkanlah gereja, cina pijak gambar, bendera LGBT, cina bergambar dengan Abg Mat, dan seumpamanya dengan konklusi inilah ramuan Bersih yang bejat. Sedangkan para agamawan ini tahu sahaja, Bersih bukan bertujuan sedemikian. Dalam 5 tuntutan Bersih, tiada satu pun tuntutan ini yang bercanggahan dengan syarak.

Para agamawan ini pula sedaya upaya menyorokkan kebaikan-kebaikan yang berlaku di sepanjang Bersih diadakan, dengan qiamnya, tazkirahnya, solat jamaienya dan seumpamanya, yang menjadi sebahagian rencana JK Bersih. Sedangkan perkara-perkara yang dibangkitkan hanyalah suatu yang berlaku di luar kawalan / tindakan JK Pelaksana. Para agamawan ini teramat lemah untuk membezakan antara perkara yang disepakati (yang sepatutnya dibincangkan) dan perkara yang tidak disepakati bersama (yang berlaku diluar kawalan) kemudian merumuskan ia merupakan ramuan Bersih yang mengundang azab Allah.



Kemudian setelah itu, keluarlah juga teori-teori sekongkol dengan Kafir untuk jayakan agenda mereka (takfir), cintakan LGBT, cintakan maksiat, wala' kepada kuffar (takfir) dan seumpamanya.

Inilah masalah agamawan, yang menjadikan agama untuk tujuan al-hawa', yang menyelamatkan pemerintah agar terus kekal berkuasa dengan teori mudharat pemerintah lebih ringan, sedangkan mereka tahu, punca sebenar / dalang kepada wujudnya golongan kassim ahmad, sis, ajaran sesat, lgbt dan seumpamanya inu adalah dari sistem yang rosak, yang mendorong semua ini berlaku.

Bersih dikatakan haram hanya kerana beberapa kelompok manusia yang jahil (bukan dari rencana atau agenda bersih) melakukan sesuatu yang tidak cerdik, manakala Malaysia diibaratkan sebagai Negara Islam (walaupun tempang) lagi Halal sedangkan mudharat kilang arak, kasino dan judi, pelacuran, dan seumpamanya tidak dilihat sebagai mudharat yang cukup kuat menjadi illah sepatutnya diharamkan bagi mereka untuk memanggil Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Saya bukan seorang agamawan, tapi saya sekurang-kurangnya tahu membezakan antara perkara yang diperjuangkan, dengan perkara yang berlaku di luar kawalan.

Nabi menyatakan solidariti kepada Hilf Al-Fudhul kerana ia baik, mahupun ia datang dari golongan Kafir (musuh Allah yang paling jahat di dunia ketika itu).

Sepatutnya yang difikirkan untuk dijawab di hadapan Allah adalah, "apakah aku telah menyembunyikan kebaikan yang banyak dengan sengaja dan menzahirkan mafsadah yang sedikit dengan niat memburukkan?"

Wallahualam,

Agama bukan candu untuk mengkhayalkan.
Islamis tidaklah naif untuk membezakan.

P / s: saya cuba membayangkan bagaimana jika datang segerombolan pelacur (dengan baju seksinya) ke demo Morsi yang dianjurkan agamawan ini, apakah pelacur-pelacur ini akan dihalau dan dipukul agamawan ini, walaupun mereka datang untuk menyatakan solidariti mereka kepada Morsi?

Saya pernah lihat pondan di Mesir, datang ke Demo anti mubarak untuk turut serta bersama-sama Ikhwanul Muslimin menyatakan solidariti rakyat menjatuhkan Mubarak..!

Oleh 
Nik Mohd Abduh
Penulis bukan YB Nik Muhammad Abduh, harap maklum.
Negara Ku di himpunan BERSIH 4

Friday, August 28, 2015

Lima lokasi berkumpul sebelum jumpa di Dataran Merdeka

(Oleh Fiza Abd Halim)

PETALING JAYA 27 OGOS: Perhimpunan Bersih 4 hujung minggu ini tetap diteruskan dengan lima lokasi berkumpul di ibu negara sebelum menuju Dataran Merdeka.

Penganjur – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) berkata, lokasi terbabit adalah Masjid Negara, Brickfields, Pasar Seni, Menara Maybank dan di hadapan kompleks beli belah Sogo.

Menurut Pengerusinya, Maria Chin Abdullah, kelima-lima lokasi tersebut merupakan kawasan berdekatan dengan Dataran Merdeka dan memudahkan rakyat untuk menyertai himpunan tersebut.

 
 
“Dua hari sahaja lagi sebelum rakyat Malaysia turun beramai-ramai ke jalanan bagi menyatakan desakan terhadap lima tuntutan kita, iaitu pilihan raya bersih, kukuhkan demokrasi berparlimen, hak membantah dan selamatkan ekonomi negara.

“Bukan sahaja di Kuala Lumpur, malah perhimpunan ini juga diadakan serentak di Sabah dan Sarawak. Di Kota Kinabalu, mereka akan berkumpul di kawasan parkir – Sabah Trade Center (Likas Square) dan berarak ke Tanjung Lipat Public Park. Di Kuching, mereka akan berkumpul di Padang Jubilee dan Pelita Car Park.

“Malah acara global Bersih berlangsung di lebih 60 bandar utama seluruh dunia, pada tarikh dan masa yang sama mengikut zon waktu masing-masing,” jelasnya pada sidang media di sebuah hotel di sini.

Selain itu, terdapat 2,000 sukarelawan selaku pemantau bagi menjaga keselamatan semasa perhimpunan dan mereka akan memakai ‘vest’ tertera tulisan ‘Pemantau’.

“Pasukan bantuan kecemasan pula akan berada di kawasan-kawasan strategik dan siap sedia dengan ambulan masing-masing sekiranya memerlukan sesiapa dievakuasi dari tapak perhimpunan akibat kecederaan atau masalah kesihatan,” ujarnya.

Menurut Maria, Bersih 4 juga turut menyediakan khidmat medik, dan peserta yang memerlukan bantuan, perlu hantarkan SMS dengan maklumat lokasi, bangunan terdekat dan maklumat kejadian ke nombor 011-123-77118 atau 013-203-6911.

Jika ditangkap, Maria mengingatkan peserta bertenang dan hubungi pasukan ‘urgent arrest’ menggunakan SMS dengan memberikan nama, nombor kad pengenalan dan lokasi balai polis ke nombor 018-3160-214 atau 018-3907-780 atau 018-3135-988.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=67590

Wednesday, August 26, 2015

BERSIH4 DI KUANTAN MALAM INI !!!

 
 
Jelajah Himpunan BERSIH4 Peringkat Negeri Pahang akan diadakan pada malam ini (Rabu - 26/8/15) Jam 08.30 malam bertempat di Dataran Rakyat, Pejabat KEADILAN Negeri Pahang (lama), Jalan Beserah, Kuantan (hadapan Poliklinik Beserah).

Di antara pimpinan yang akan hadir pada malam ini adalah;

1. YB Rafizi Ramli - Naib Presiden KEADILAN/MP Pandan
2. YB Tian Chua - Naib Presiden KEADILAN/MP Batu.
3. YB Dato' Fauzi Abdul Rahman - Pengerusi KEADILAN Pahang/MP Indera Mahkota
4. YB Ustaz Rosli Abdul Jabar - P/Jaya Pas Pahang/Adun Tg Lumpur (Terlibat dengan program di Rompin, jika berkesempatan akan hadir)
5. YB Tengku Zulpuri - Pengerusi Dap Pahang/Adun Mentakab
6. YB Fuziah Salleh - MP Kuantan /Pengarah Program BERSIH4 Pahang.
7. YB Andansura Rabu - Adun Beserah (Terlibat program di Rompin, jika berkesempatan akan hadir)
8. YB Lee Chean Chung - Adun Semambu - Pengerusi Majlis
9. YB Sim Choon Siang - Adun Teruntum
10. Sdr Badrul Hisham Shahrin @ Chegu Bard - Penyelaras SAMM
serta beberapa pimpinan lain.

Orang ramai dijemput hadir. Gerai jualan baju BERSIH4 juga akan dibuka.

Thursday, August 20, 2015

"BERSIH 4" PERINGKAT NEGERI PAHANG PADA 26 OGOS 2015 DI JALAN BESERAH, KUANTAN



Kempen Mobilisasi "BERSIH 4" peringkat Negeri Pahang akan diadakan pada 26 Ogos 2015 (Rabu) bermula jam 08.30 malam bertempat di Dataran Rakyat, Pejabat KEADILAN Negeri Pahang (pejabat lama), Jalan Beserah, Kuantan (berhadapan Poliklinik Beserah).  

Di antara para penceramah yang akan diundang adalah YB Nurul Izzah, YB Rafizi, YB Tian Chua, YB Senator Siti Aishah Serikandi serta pimpinan NGO iaitu S.Ambiga (BERSIH) dan Sasterawan Negara, Dato A. Samad Said.  Pimpinan tempatan juga turut akan diundang, di antaranya Pengerusi KEADILAN Negeri Pahang yang juga MP Indera Mahkota, YB Dato' Fauzi Abdul Rahman, YB Fuziah Salleh (MP Kuantan) selaku Pengerusi Program, YB Lee Chean Chung (Adun Semambu), YB Andansura (Adun Beserah), YB Ustaz Rosli Abd Jabar (Adun Tg Lumpur) dan beberapa pimpinan lain.  Walau bagaimanapun, senarai muktamad yang akan hadir akan kami maklumkan.

Thema program pada malam tersebut adalah berpakaian kuning "BERSIH", bagi yang tiada pakaian tersebut, terdapat kaunter jualan baju BERSIH disediakan.  Kepada para peniaga yang ingin berniaga di lokasi berkenaan, sila berhubung lebih awal dengan pihak sekretariat (Pejabat Ahli Parlimen Kuantan).  

Mohon hebahkan dan semua dijemput hadir.

KEADILAN SERU RAKYAT TURUN "BERSIH 4"


KUALA LUMPUR 20 OGOS: KEADILAN menyeru rakyat bangkit menyuarakan bantahan dan menentang penindasan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan menyertai perhimpunan aman Bersih 4 pada hujung bulan ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, faktor terpenting dalam usaha menyelamatkan Malaysia ialah kehendak rakyat yang kuat untuk keluar daripada krisis yang berlaku.

“Ada pihak yang berkata Malaysia bakal menjadi ‘negara gagal’ jika tidak diselamatkan. Namun pada masa yang sama ada pihak berkepentingan bertungkus-lumus berusaha menggagalkan proses menyelamatkan Malaysia.


“Faktor terpenting dalam usaha ini ialah kemahuan dan kemarahan rakyat. Adakah kita mahu terus hidup di dalam keadaan ekonomi dan politik yang tidak menentu?

“Adakah kita mahu anak cucu kita terus hidup ditindas dan dibelenggu pelbagai masalah yang kita hadapi hari ini?” soal Wan Azizah dalam kenyataan.

Sambung Ketua Pembangkang itu, senario politik kini semakin membimbangkan dengan pelbagai skandal terpalit ketika Malaysia bakal menyambut ulang tahun Kemerdekaan ke-58 dan Hari Malaysia ke-52.

“Kenaikan harga barang akibat GST yang membebankan, merudumnya nilai mata wang ringgit, hilangnya kepercayaan pelabur dalam dan luar negara, serta rasuah dan salahguna kuasa semakin menjadi-jadi.

“Pelbagai insiden juga telah berlaku termasuk rombakan, pemecatan, dan tangkapan individu-individu yang terlibat di dalam siasatan isu 1MDB dan dakwaan ‘derma’ RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang terkini didakwa telah dikeluarkan sepenuhnya.

“Tidakkah kita impikan dan idamkan sebuah Malaysia yang lebih adil, yang lebih sejahtera, yang lebih stabil, yang lebih baik untuk kita semua?

“Masanya kini tiba untuk rakyat Malaysia menyuarakan kemarahan dan kemahuan agar Malaysia diselamatkan,” kata Adun Kajang itu sambil menyeru orang ramai menyertai himpunan itu pada 29 dan 30 Ogos ini.

Perhimpunan tersebut bakal berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur; Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.

“Demi anak cucu kita, demi nusa dan bangsa, demi rakyat Malaysia, marilah kita bersama-sama bangkit dan turut serta dalam perhimpunan aman Bersih 4, ayuh selamatkan Malaysia!” seru Wan Azizah.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=67489