KLIK "STOP" UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

DENGAR RADIO KAMI?

SILA KLIK "STOP" PADA RADIO KOBAT FM UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Followers

Monday, April 28, 2014

DEMO 01 MEI TETAP DI DATARAN MERDEKA


    
Perhimpunan untuk membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 Mei bertekad untuk berkumpul di kawasan Dataran Merdeka biarpun ia kini ditutup untuk tujuan “naik taraf”.

Penganjur perhimpunan untuk membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 Mei bertekad untuk berkumpul di kawasan Dataran Merdeka biarpun ia kini ditutup untuk tujuan “naik taraf”.

Bagaimanapun, jurucakap jawatankuasa protes 1 Mei S Arutchelvan berkata keputusan telahpun dibuat pagi ini untuk tetap berkumpul di Dataran Merdeka.

"Kami bersetuju dengan kebimbangan mengenai kawasan pembinaan yang berjalan tetapi kami akan berkumpul di jalan bersebelahan padang," kata beliau kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Beliau menambah sekiranya pihak berkuasa boleh menutup jalan di Dataran Merdeka walaupun tiada pembinaan, jadi para demonstran boleh berkumpul di kawasan tersebut.

"Pilihan kedua terbaik ialah berkumpul di sekeliling Dataran Merdeka, kami tidak akan bersetuju (berkumpul) di Stadium," kata setiausaha agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) berkata himpunan itu akan tetap berjalan di padang bersejarah tersebut.

"Kami fikir Dataran Merdeka adalah simbol kepada gerakan rakyat," kata beliau.

Menurut Arutchelvan, himpunan dijadualkan bermula jam 2 petang dan hadirin diminta berkumpul di empat tempat utama iaitu Bangunan KLCC, Kompleks Membeli Belah Sogo, Dataran Maybank dan Masjid Negara sebelum berarak ke Dataran Merdeka./MK

Saturday, April 26, 2014

PAHANG MENGADAKAN MATC DAN PEMILIHAN HARI INI

MPN KEADILAN Pahang mengucapkan selamat mengadakan MATC dan pemilihan pimpinan Cabang dan Pusat kepada semua Cabang yang terlibat di seluruh Negeri Pahang   yang akan diadakan bermula pagi ini Sabtu (26/4/2014).  

Kecuali Cabang Paya Besar yang telah ditunda kepada 10 Mei 2014, kesemua Cabang akan mengadakan MATC bermula pagi ini.  Cabang Paya Besar terpaksa ditunda atas-atas sebab teknikal seperti yang diarahkan oleh Pusat.

Kepada Cabang-Cabang lain yang terlibat dengan MATC hari ini, mereka hendaklah menentukan segala peraturan yang telah ditetapkan dipatuhi agar MATC dapat berjalan dengan baik dan lancar.

SELAMAT BERSIDANG.

Thursday, April 24, 2014

LOKASI MATC DAN PEMILIHAN DI PAHANG PADA 26 APRIL 2014 (SABTU)

Pada 26 April 2014 (Sabtu) ini, seluruh Cabang PKR di Negeri Pahang akan mengadakan Mesyuarat Agong Tahunan Cabang (MATC) serentak dengan pemilihan di peringkat Pusat dan Cabang. MATC akan bermula pada jam 09.00 pagi dan seterusnya diadakan pengundian.

Berikut adalah tempat MATC/Pengundian yang telah ditetapkan:-

1.  Cameron Highland - MATC/Pengundian - IJ Berre Centre, Pekan Tanah Rata, Tanah Rata

2.  Lipis -  MATC/Pengundian - Bilik Gerakan Pakatan Rakyat, Jln Benta-Jerantut, Benta

3.  Raub -  MATC/Pengundian - Dewan Restoren Hussin, Tanah Bercangkul, Jln Lipis, Raub

4.  Bentong -  MATC/Pengundian - Hotel Tras Mutiara, P 22 Jln MG 2 Pusat Perniagaan Mutiara Gemilang,
                                                       Bentong.

5.  Temerloh -  MATC/Pengundian - Sek Ren Agama Al-Mukmin, Bt 2, Jln Temerloh-Mentakab, Temerloh

6.  Bera -  MATC/Pengundian - Dewan Seminar Restoren Anjung Seri, Tingkat 1, Restoren Anjung Seri, 
                                                 Simpang Kerayong, Bera 

7.  Kuala Krau -  MATC/Pengundian -  Rumah Ahmad Dagu, Kg Penderas, K.Krau

8.  Jerantut -  MATC/Pengundian - Restoren Ariff, No. 19 Bandar Inderapura, Jln Maran, Jerantut

9.  Maran -  MATC/Pengundian -  Rumah Reformasi, No. 13 Zon Perniagaan, Felda Jengka 4, Maran

10. Kuantan -  MATC/Pengundian - Pejabat Cabang Kuantan, A-137, Tingkat 1, Jln Beserah, Kuantan

11. Indera Mahkota -  MATC/Pengundian - Pusat Khidmat Dun Semambu, B-9766, Tingkat 1, Jalan Haji
                                                                   Ahmad, Kuantan

12. Paya Besar - MATC - Pejabat Ranting, No. 31 Jln 2, Taman Tas, Jln Gambang Kuantan
                           Pengundian - Rumah Cikgu Zul, Lot 4824, Permatang Badak, Kuantan

13. Pekan -  MATC/Pengundian - No. 154, Felda Chini 3, Pekan

14. Rompin - MATC/Pengundian - Markas PAS, Canis Felda Keratung 6, Bandar Tun Abd Razak, Rompin

Kepada semua ahli Cabang diminta hadir pada MATC/Pengundian pada tarikh yang dinyatakan bagi meraikan proses demokrasi di dalam parti.  Anda dinasihatkan untuk sentiasa mendapatkan maklumat terkini tentang MATC khususnya berkaitan lokasi dan masa yang ditetapkan sekiranya terdapat sebarang perubahan disaat akhir.  Maklumat boleh diperolehi melalui Pejabat Cabang masing-masing.

Kepada semua Ketua Cabang/Timbalan/Pemangku/Setiausaha hendaklah menghebahkan jadual MATC/Pengundian ini seluas mungkin kepada ahli-ahli masing-masing mengikut sepertimana notis yang telah dikeluarkan.  

Adalah diharapkan MATC/Pemilihan kali ini berjalan dengan lancar dan teratur serta mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

Tuesday, April 22, 2014

KES FITNAH LIWAT II - MAHKAMAH GOPOH, KATA BEKAS KP JSJ KUALA LUMPUR

TMI

Penghakiman Mahkamah Rayuan terhadap kes Liwat II Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat secara tergopoh gapah, kata Datuk Mat Zain Ibrahim.

Bekas ketua pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur itu menegaskan, selain mahkamah melakukan kesilapan, prosiding rayuan berkenaan turut dicemari campur tangan kerajaan, terutamanya Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar).

“Hakim Mahkamah Rayuan membuat keputusan tersebut secara tergopoh-gapah, tanpa memberi pertimbangan yang mendalam dan menyeluruh kepada keterangan-keterangan yang dibentangkan kedua-dua pihak sejak mula prosiding tersebut diadakan.   “Selain Mahkamah Rayuan sendiri ada membuat tafsiran silap menyentuh fakta mustahak, prosiding rayuan tersebut dicemari tindakan pihak kerajaan dan khasnya Peguam Negara,” kata Mat Zain dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, kerajaan dan peguam negara juga mengemukakan beberapa kenyataan tidak benar, dan/atau membenamkan keterangan mustahak atau yang memihak kepada tertuduh daripada pengetahuan mahkamah.

Dalam penghakiman setebal 85 muka surat yang diedarkan kepada media minggu lalu, mahkamah memutuskan adalah selamat untuk mahkamah mensabitkan Anwar terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan kerana terdapat cukup keterangan untuk mengesah dan membuktikannya.

Mahkamah berkata, sekiranya diandaikan tiada bukti menyokong keterangan Mohd Saiful tentang fakta berlakunya penetrasi, adalah selamat untuk mensabitkan Anwar.

Panel tiga hakim Mahakmah Rayuan diketuai Hakim Datuk Balia Yusof Wahi dalam penghakiman bertulis bertarikh 11 April berkata, terdapat cukup keterangan lain yang membolehkan elemen pertuduhan dapat disah dan dibuktikan.

Penghakiman mahkamah itu turut memutuskan isu kemungkinan sampel DNA diambil daripada Mohd Saiful diusik oleh pegawai penyiasat kes Superitenden Jude Blacious Pereira dan tercemar juga tidak dapat dibuktikan.

Mat Zain berkata, sekiranya mahkamah rayuan tidak tergopoh-gapah membuat keputusan, sebaliknya meneliti mendalam keterangan yang dibentangkan oleh kedua-dua pihak, semenjak prosiding bermula pada 2008, mereka sendiri akan menemui fakta dan banyak lagi keterangan yang menunjukkan salah laku terancang pihak pendakwaan dan penyiasatan dalam prosiding kes tersebut.

“Pada pendapat saya, perkara yang terpenting dalam hal ini ialah Gani Patail hilang kelayakan dari sudut moral dan undang-undang, untuk terlibat dalam apa kapasiti pun, bersangkutan dengan pertuduhan yang dikenakan terhadap Anwar dalam kes ini.

“Apa-apa keputusan yang beliau ambil atas sifat Peguam Negara berkaitan perkara ini dan termasuk melantik Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengepalai pasukan pendakwaan di peringkat rayuan ini, boleh dipertikaikan dan wajar disemak semula,” katanya.

Beliau turut berpendapat, hakim Mahkamah Rayuan bergantung bulat-bulat kepada hujah yang dibentangkan Shafee sahaja, tanpa menghiraukan semua bantahan dan laporan polis yang dibuat berkaitan pemalsuan yang diikrarkan oleh Shafee, dalam afidavitnya.

“Hakim Mahkamah Rayuan sendiri mendedahkan tingkah laku dan tindakan mereka untuk orang ramai menyimpulkan mereka memang berada di bawah tekanan dan pengaruh yang kuat daripada tangan-tangan tersembunyi,untuk mensabitkan kesalahan ke atas Anwar dengan apa cara sekalipun,” katanya.

Monday, April 21, 2014

Saifuddin: Ayuh ramai2 turun ‘kenduri’ 1 Mei, bantah GST

IPOH 20 APRIL: Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menggesa rakyat turun beramai-ramai pada Himpunan Membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), 1 Mei ini.

 
 
Perhimpunan besar-besaran itu bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan kerajaan yang terus membebankan rakyat dengan kenaikan kos hidup melalui GST, yang bakal dilaksana pada April 2015.

Saifuddin menyatakan demikian di hadapan 4,000 hadirin pada ceramah Jelajah Reformasi 2.0 di Bandar Ipoh Raya, Perak Jumaat lalu.

“‘Grand Finale’ program Jelajah Reformasi 2.0 adalah kenduri besar-besaran 1 Mei di Kuala Lumpur untuk terangkan kembali isu GST kepada rakyat,” kata Saifuddin.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyatakan, Pakatan Rakyat akan menggerakkan seluruh ahli dan penyokong untuk menyatakan bantahan tindakan kerajaan yang terus membebankan rakyat.

“Tuan rumah kenduri 1 Mei nanti ialah Mat Sabu dan kita pergi ramai-ramai untuk meriahkan kenduri dan berhimpun secara aman,” kata Saifuddin.

Himpunan ini dijadual berlangsung di sekitar Kuala Lumpur antara jam 2 hingga 5 petang dan kemudian bergerak ke Dataran Merdeka.

Justeru kata Saifuddin, perhimpunan ini landasan penting untuk bicara masalah dan soal beban hidup rakyat dalam menghadapi kos sara hidup seharian.

“Kita cuma ada satu pilihan dengan bangkit dan lawan Umno BN, jangan lupa undangan terbuka kenduri 1 Mei di Kuala Lumpur,” ulangi Saifuddin lagi.

Rang Undang-Undang GST telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 April lalu selepas ia dibacakan kali kedua.

Thursday, April 17, 2014

YB KARPAL SINGH MENINGGAL DUNIA - TAKZIAH DARI KEADILAN PAHANG

MPN KEADILAN Negeri Pahang mewakili seluruh ahli KEADILAN negeri ini mengucapkan Takziah kepada waris dan kaum keluarga Ahli Parlimen Bukit Gelugor yang juga Pengerusi DAP, YB Karpal Singh yang telah meninggal dunia kerana terlibat di dalam kemalangan jalanraya di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan utara di Kampar awal pagi ini.

Pembantu peribadi beliau, Michael Cornandez turut maut dalam kemalangan itu yang membabitkan kenderaan serbaguna (MPV) yang dinaiki mereka dengan sebuah lori dalam perjalanan menuju utara berhampiran Gua Tempurung.  Anaknya Ram Karpal dan pemandu kereta itu dilaporkan cedera.

 
 
Beliau merupakan seorang tokoh politik yang dihormati oleh rakan dan digeruni oleh musuh politiknya kerana beliau adalah seorang yang tegas dan sentiasa berpegang kepada prinsip undang-undang.  Mendiang Karpal juga adalah Ketua Peguambela di dalam Kes Fitnah Liwat II melibatkan Dato' Seri Anwar Ibrahim.  

Semoga kaum keluarganya diberi kekuatan dan dapat menerima dugaan ini dengan penuh kesabaran.  Segala jasa Mendiang kepada rakyat terutamanya di kawasan yang diwakilinya, serta perjuangannya menegakkan keadilan dan menentang kezaliman di negara ini akan tetap dikenang.  Pakatan Rakyat merasai kehilangan seorang tokoh yang penuh pengalaman.

Wednesday, April 16, 2014

PENJAWAT AWAM JANGAN GENTAR TERUS BOCORKAN MAKLUMAT SALAH LAKU

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengecam ugutan yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa semalam yang menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang membocorkan rahsia kerajaan. (klik sini petikan berita ugutan KSN kepada penjawat awam)

Memang benar penjawat awam perlu menjaga etika kerahsiaan demi kepentingan negara, malangnya pemimpin regim pemerintah kini sedang menggunakan etika kerahsiaan itu demi melindungi kegiatan salah laku yang lebih merugikan negara dan rakyat terbanyak.

Ali Hamsa mengugut penjawat awam sebagai respon ketika diminta mengulas Pengerusi Biro Antarabangsa, Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM), Fakhrul Azman Abu Bakar supaya mengenal pasti dalang yang membocorkan dokumen berhubung jadual lawatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula 8 April lepas.

Jadual itu terbukti jadual yang sedang disiapkan untuk lawatan TPM dan ia penuh dengan acara membazir seperti bermain golf dan sebagainya. Maka selepas jadual itu terdedah awal maka ia ditukar. Bukankah yang membocorkan jadual itu telah menyelamatkan wang rakyat ? dan yakinlah jika jadual itu tidak dibocorkan pembaziran akan berlaku.

SAMM dengan ini menyeru semua penjawat awam agar jangan takut untuk terus menjalankan tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas disamping terus menjadi telinga dan mata kepada rakyat demi kepentingan negara. Kamu bukan pengkhianat, jika nampak benda salah lalu kamu bocorkan, maka kamu wira rakyat dan negara. Memang ada risiko kerana kamu bekerja dalam regim seperti sekarang ini.

Kepada penerima maklumat pastikan kamu juga punya tanggungjawab bagi merahsiakan dan melindungi pemberi maklumat. SAMM sendiri punya pengalaman membuat banyak pendedahan seperti cincin RM24.4 juta, bukan sikit ugutan dan tawaran untuk mendapatkan siapa pembocor maklumat dalam agensi kerajaan termasuk dalam pejabat Perdana Menteri sendiri sebaliknya SAMM terus memegang janji melindungi pemberi maklumat.

Sekian.

che'GuBard
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Sunday, April 13, 2014

SEKITAR REFORMASI 2.0 DI KUANTAN MALAM TADI

Cubaan pihak-pihak tertentu untuk menggagalkan Program Reformasi 2.0 Peringkat Negeri Pahang malam tadi ternyata gagal.  Usaha untuk menggagalkan program ini mula dapat dihidu seawal lagi apabila berbagai alasan tidak munasabah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tidak memberikan kebenaran mengadakan program tersebut di Padang Kemunting, Kuantan kemudiannya dihalang lagi apabila ingin ditukarkan lokasi ke Padang Mahkota Aman, Batu 11, Kuantan.

Karenah begini dilakukan hanyalah untuk menyusahkan pihak penganjur yang terpaksa berbelanja lebih dan bekerja lebih kuat untuk mempromosikan semula lokasi baru.  Akhirnya, pihak penganjur hanya memberi pilihan terakhir kepada pihak berkuasa untuk memberikan kebenaran diadakan program tersebut di Padang Taman Berjaya Permai, Kempadang, Tg Lumpur, Kuantan.  Sekiranya pilihan terakhir ini masih disekat, keputusan akan dibuat untuk rakyat berhimpun dan berarak di tengah bandar Kuantan.  Alhamdulillah, mereka akhirnya membenarkan lokasi terakhir ini.

Meskipun menghadapi mehnah dan ujian yang sememangnya dijangka, Alhamdulillah, program malam tadi di Kempadang berjalan dengan baik, aman dan lancar.  Tiada huru-hara, tiada provokasi dan semua penduduk di situ memberikan kerjasama yang amat baik.  Terdapat juga pihak yang cuba mengambil kesempatan mengedarkan risalah memburukkan Tan Sri Khalid, MB Selangor bertujuan untuk menunjukkan kononnya program Reformasi 2.0 ini merupakan kempen satu pihak di dalam pemilihan parti KEADILAN.

Seramai 12 penceramah tampil di atas pentas yang diPengerusikan oleh Sdr Wan Fauzuldin (Wfauzdin  NS), Blogger dan DJ Radio KOBAT FM.  Di antara yang berucap malam tadi adalah Sdr Razali Alias (Ketua Penerangan KEADILAN Pahang), Sdr Zukri Aksah (Penganalisa dan penulis politik) dan juga Sdr Kamarul Hatta (Bung Hatta) bersama anak-anak muda.  Kumpulan ini mewakili suara reformis.  Pimpinan lain yang tampil adalah Adun Semambu, YB Lee Chean Chung, Adun Beserah (PAS) YB Andansura Rabu, Adun Mentakab (DAP) YB Tengku Zulpuri, YB Fuziah Salleh (Naib Presiden/MP Kuantan), YB Tian Chua (Naib Presiden/MP Batu) YB Rafizi Ramli (MP Pandan/Pengarah Strategi KEADILAN), YB Nurul Izzah (Naib Presiden/MP Lembah Pantai), Sdr Saifuddin Nasution (SUA KEADILAN) dan Sdr Chegu Bard (Penyelaras SAMM).

Diangggarkan kehadiran malam tadi lebih kurang 8,000 orang memenuhi semua ruang di padang berkenaan.  Suatu kejayaan besar walaupun pihak Penganjur awalnya tidak menjangkakan kehadiran sebegitu ramai akibat gangguan-gangguan di saat akhir.  

Kemuncak program malam tadi, Dato' Seri Anwar Ibrahim tampil di pentas selama lebih kurang 45 minit membawa kembali kisah perjuangan reformasi di negara ini.  Beliau turut melahirkan rasa simpati di atas tragedi Pesawat MH370 yang sehingga kini masih menemui jalan buntu.  Beliau kesal cara kerajaan menangani isu ini dengan cara mengheret beliau kononnya beliau memburukkan imej negara di mata dunia luar.  Namun beliau yakin rakyat sudah cerdik dan tidak lagi terpedaya dengan propaganda media-media di bawah kawalan Umno/Bn.

KEADILAN Negeri Pahang mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua Pengarah dan AJK program, petugas-petugas dari AMK dan SAMM, sukarelawan, rakan-rakan dari PAS dan DAP dan semua pihak yang melibatkan diri menjayakan program ini.  Terima kasih tidak terhingga kepada semua penduduk dan JK penduduk taman serta pasukan keselamatan yang telah memberikan kerjasama kepada program ini.

Dato Fauzi bersama Sdr Saifuddin
Dato' Seri Anwar Ibrahim penuh semangat berucap
Kehadiran amat memberangsangkan
Wfauzdin NS, Pengerusi Program



Friday, April 11, 2014

REFORMASI 2.0 (12/4/2014) - BATAL MAHKOTA AMAN GANTI KEMPADANG, SG SOI

Lokasi Program Reformasi 2.0 peringkat Negeri Pahang yang akan diadakan pada 12 April 2014 (Sabtu) ini bermula jam 08.30 malam yang telah ditukar lokasi asalnya dari Padang Kemunting (MPK4), Kuantan ke Perkarangan PASTI, Taman Seri Mahkota Aman, Batu 11, Kuantan, sekali lagi terpaksa ditukar akibat kerakusan kuasa tanpa budi bicara pihak berkuasa.

Lokasi Baru
Kini yang terbaru dan terakhir, lokasi program tersebut telah beralih ke Padang Taman Berjaya Permai, Kempadang, Tg Lumpur, Kuantan pada tarikh dan waktu yang sama.

KEADILAN merasa amat kesal di atas sikap pihak berkuasa yang sering mengambil kesempatan di atas sikap bertolak ansur pihak penganjur.  Kali ini kami berpendapat tiada lagi kompromi kerana kami difahamkan kawasan ini tidak mempunyai masalah untuk kami merealisasikan hak berhimpun dan bersuara secara aman di negara ini, khususnya di Pahang.

Seandainya program ini terus disekat dengan berbagai provokasi oleh mana-mana pihak, kami bimbang rakyat yang telah bosan dengan kezaliman dan ketidakadilan mereka akan berarak memasuki bandar Kuantan pula.  Semoga pihak berkenaan boleh membantu dan memberikan kerjasama yang baik kepada program yang telah diatur ini.

Sunday, April 6, 2014

PROSES PENAMAAN CALON BERJALAN DENGAN BAIK

Semalam (05/4/14), berakhir sudah hari Penamaan Calon bagi Pemilihan AJK semua Cabang di Negeri Pahang. Penamaan Calon akan bermula jam 10.00 pagi sehingga jam 05.00 petang.
 
 Pusat Penamaan Calon yang telah ditetapkan adalah seperti berikut:
1.  Zon Timur  (Kuantan, Indera Mahkota, Pekan, Paya Besar dan Rompin) -  Pejabat PKR Negeri, Jln Bukit Sekilau, Kuantan.

2.  Zon Tengah (Temerloh, K/Krau, Bera, Maran dan Jerantut)  -  Seminar Hall, Taman Gopeng, Mentakab

3.  Zon Barat (Raub, Bentong dan Lipis) - Restoren Hussin, Jln Raub-Lipis, Raub

4.  Cameron Highland - Pej PKR Cabang Cameron Highland, No. 9-5-H, Habu Height Felicia, Tingkat 3, Ringlet, Cameron Highland  

Proses penamaan calon berjalan dengan lancar dan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.  Ini membuktikan proses demokrasi di dalam parti khususnya melibarkan parti KEADILAN di negeri ini berjalan dengan baik.

Mudah-mudahan kesemua yang terlibat dapat meneruskan perjuangan dan berkempen dengan sihat serta penuh kekeluargaan.  Tarikh pengundian/MATC ditetapkan pada 26/4/2014.

Saturday, April 5, 2014

PENAMAAN CALON BAGI SELURUH CABANG NEGERI PAHANG BERMULA HARI INI

Penamaan calon bagi pemilihan Ketua Cabang/AJK di seluruh Negeri Pahang akan diadakan serentak bermula hari ini (Sabtu - 05 April 2014) di mana Pusat Penamaan Calon dipecahkan kepada 3 Zon (Timur, Tengah dan Barat) dan Cameron Highland.

Penamaan Calon akan bermula jam 10.00 pagi sehingga jam 05.00 petang di semua Pusat Penamaan Calon seperti berikut:

1.  Zon Timur  (Kuantan, Indera Mahkota, Pekan, Paya Besar dan Rompin) -  Pejabat PKR Negeri, Jln Bukit Sekilau, Kuantan.

2.  Zon Tengah (Temerloh, K/Krau, Bera, Maran dan Jerantut)  -  Seminar Hall, Taman Gopeng, Mentakab

3.  Zon Barat (Raub, Bentong dan Lipis) - Restoren Hussin, Jln Raub-Lipis, Raub

4.  Cameron Highland - Pej PKR Cabang Cameron Highland, No. 9-5-H, Habu Height Felicia, Tingkat 3, Ringlet, Cameron Highland

Pemilihan kali ini juga melibatkan AMK dan Wanita.

Kepada semua mereka yang berhasrat untuk bertanding diingatkan agar mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan serta mengekalkan tahap disiplin yang tinggi sepanjang tempuh berkempen.  Apa yang paling penting dan diberi keutamaan adalah kepentingan parti agar tidak berlaku perpecahan.  

KEADILAN Negeri Pahang tidak melarang sesiapa pun yang layak untuk menawarkan diri di dalam merealisasikan proses demokrasi di dalam parti asalkan sentiasa menjaga disiplin dan meletakkan keharmonian parti paling utama.  Walau bagaimanapun, sekiranya ada usaha-usaha kompromi bagi mengelakkan pertandingan atas kehendak dan persetujuan bersama tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak ianya amat digalakkan.

Tarikh MATC dan pengundian bagi seluruh Cabang di Negeri Pahang akan bermula pada 26 April 2014 di Pejabat Cabang/Lokasi yang ditetapkan oleh Cabang masing-masing yang akan dimaklumkan kemudian melalui Notis/Surat Pekeliling MATC.  Semua ahli dinasihatkan sentiasa merujuk kepada Pejabat Cabang masing-masing berhubung dengan MATC nanti untuk mendapatkan maklumat terkini.

Sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan SUK Negeri (Adnan) di No Tel: 013 - 3678876.

Selamat Bertanding.


Friday, April 4, 2014

Najib Kecut Berdepan Media Asing, Beri Imej Buruk Pada Negara

KUALA LUMPUR 3 APRIL : Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengelak daripada menjawab soalan media antarabangsa disifatkan sebagai pengecut sekaligus memberi imej buruk kepada Malaysia.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, Najib seharusnya lebih bersikap terbuka dan profesional dalam mendepani media antarabangsa berhubung kes kehilangan pesawat MH370.

 
 
“Bila mengelak, gambaran buruk kepada Malaysia bahawa kita mempunyai Perdana Menteri yang takut dan pengecut.

“Jangan hanya sekadar membaca teks yang disediakan. Seorang perdana menteri perlu lebih bersedia untuk menjawab apa sahaja soalan yang dikemukakan oleh media tempatan mahupun antarabangsa.

“Macam mana sekalipun kalau tidak tahu jawapan yang tepat untuk menjawab soalan yang dikemukakan, terus terang, cakap ‘saya tak pasti dan akan memberi kenyataan dengan lebih lanjut nanti’. Itu lebih baik daripada terus mengelak daripada mereka,” katanya ketika dihubungi.

Najib dalam sidang media ketika lawatannya di Perth Australia dilapor hanya membaca kenyataan akhbar dan terus meninggalkan majlis selepas pihak media mula bertanya soalan.

Beliau juga tidak menjawab soalan daripada media sejak sidang media pertamanya berkenaan kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac lalu.

Fahmi berkata, ketakutan Najib terhadap media asing disebabkan mereka lebih terbuka berbanding media arus perdana yang dikawal kerajaan di negara ini.

“Sepatutnya PM itu sendiri kena berani berdepan dengan media antarabangsa. Suara beliau itu perlu didengari rakyat, dan apa yang keluar daripada mulut perdana menteri itu ditunggu rakyat,

“Tapi bila Najib mengelak untuk menjawab soalan daripada media, ia jelas menunjukkan Najib takut dengan mereka.

“Mana tidaknya, selama ini hanya dikawal oleh media pro kerajaan sahaja, tapi kali ini berdepan dengan media yang lebih terbuka,” ujarnya./SK

Thursday, April 3, 2014

PENGERUSI MPN PAHANG MAHU WAKIL PAHANG TERPILIH DALAM PEMILIHAN PUSAT

Senarai calon pemilihan di dalam KEADILAN di peringkat Pusat telah pun dimuktamadkan baru-baru ini di mana kali ini pertandingan jawatan tertinggi agak sengit.  Semua jawatan bermula dari Presiden, Timbalan, Naib dan MPP kesemuanya menyaksikan pertandingan termasuk sayap AMK dan Wanita.  Keterbukaan merealisasikan demokrasi di dalam KEADILAN kali ini begitu terserlah.

YB Dato' Fauzi Abdul Rahman - Pengerusi MPN
Di dalam Mesyuarat MPN KEADILAN Pahang baru-baru ini, Pengerusi MPN, YB Dato' Fauzi Abdul Rahman mengucapkan tahniah dan selamat bertanding kepada semua calon dari Pahang yang begitu komited untuk menawarkan diri memikul tanggungjawab di peringkat Pusat.

YB Fuziah Salleh - Bertanding mempertahankan Jawatan Naib Presiden

Wakil dari Pahang yang terlibat adalah MP Kuantan, YB Fuziah Salleh yang akan bertanding jawatan Naib Presiden.  Jawatan MPP pula, wakil dari Pahang adalah Sdr Zakaria Abdul Hamid.  Bagi jawatan Ahli Majlis Pimpinan Angkatan Muda pula, calon dari Pahang terdiri dari Adun Semambu, YB Lee Chean Chung dan bekas Calon Parlimen Paya Besar iaitu Sdri Murnie Hidayah Anuar.

Sdr Zakaria Abdul Hamid - Bertanding pertahankan Ahli MPP
YB Lee Chean Chung - Bertanding Ahli Majlis Pimpinan AMK
Sdri Murnie Hidayah Anuar - Bertanding Ahli Majlis Pimpinan AMK
Pengerusi MPN mengharapkan kesemua wakil dari Pahang akan mendapat sokongan dan berjaya di dalam pemilihan kali ini.  Pengundian pemilihan akan berlangsung selama tiga minggu mengikut pecahan Zon bermula 25 April sehingga 11 Mei depan. 

Wednesday, April 2, 2014

DATO' FAUZI, USTAZ TUAN IBRAHIM DI PENTAS CERAMAH DI CENDERAWASIH, KUANTAN MALAM INI


Sempena dengan Pelancaran Dana Kompleks PAS Negeri Pahang oleh Naib Presiden PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, Ybhg Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man pada malam ini, Rabu (02/4/2014) bertempat di PASTI Cenderawasih, Kuantan akan diadakan program Ceramah Umum dengan isu-isu panas dan kontroversi masa kini oleh para penceramah jemputan.

Penceramah yang akan tampil pada malam ini adalah Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man sendiri, di samping Pengerusi KEADILAN Pahang yang juga MP Indera Mahkota, YB Dato' Fauzi Abdul Rahman.  Turut memanaskan pentas ceramah malam ini adalah Adun Beserah, YB Andansura Rabu dan Ketua Penerangan PAS Pahang, Tuan Hj Suhaimi Md Saad.

Sehubungan itu, orang ramai diminta hadir dan digalakkan menghulurkan bantuan semampu mungkin bagi dana Kompleks PAS Pahang yang bakal dilancarkan oleh Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man malam nanti.

Tuesday, April 1, 2014

FARIZ MUSA BERTANDING KETUA CABANG PEKAN, PERTAHANKAN KERUSI MPP

Admin baru saja mendapat pengesahan daripada Sdr Fariz Musa (Ahli MPP/Pengerusi Jingga 13) yang juga bekas calon PR di Parlimen Pekan di dalam PRU 13 yang lalu bahawa beliau bersetuju untuk menawarkan diri bertanding sebagai Ketua Cabang Pekan pada MATC yang bakal diadakan tidak beberapa lama lagi.

Sdr Fariz Musa - Pertahankan Ahli MPP/Bertanding Ketua Cabang Pekan
Keputusan itu diambil adalah sebagai membuktikan komitmen beliau untuk tidak berundur dan terus lawan di kubu kuat Umno/Bn iaitu kawasan PM, Najib Razak.  Amat sukar untuk mencari tokoh yang bersedia diletakkan di kawasan 'nahas' itu tetapi selaku orang lama di dalam Reformasi beliau tidak pernah gentar untuk berdepan dengan orang nombor satu Umno/Bn itu.  

Selain dari menawarkan diri bertanding di Cabang Pekan, Sdr Fariz Musa juga menawarkan diri untuk mempertahankan Kerusi MPP di dalam pemilihan parti kali ini.  Selaku tokoh yang sanggup menawarkan bakti di Pekan, tentulah beliau mengharapkan sokongan penuh dari seluruh ahli KEADILAN di Negeri Pahang ini khususnya untuk beliau mempertahankan Kerusi MPP.

Kepada sesiapa yang ingin menawarkan diri bertanding di dalam apa jua jawatan, anda boleh emailkan kepada saya melalui email zek_riy@yahoo.com atau SMS di No Telefon 013-9410309 untuk kami hebahkan melalui blog resmi KEADILAN Pahang.