KLIK "STOP" UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

DENGAR RADIO KAMI?

SILA KLIK "STOP" PADA RADIO KOBAT FM UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Followers

Monday, March 10, 2014

TAHNIAH KAK WAN, DOA AGAR MANGSA PESAWAT SELAMAT

 
Terlebih dahulu kami ucapkan Tahniah dan Syabas kepada Presiden KEADILAN, Datin Seri Wan Azizah kerana terpilih sebagai calon di PRK N25, Dun Kajang bagi menggantikan Ketua Umum, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang telah dizalimi dengan hukuman 5 tahun penjara oleh Mahkamah baru-baru ini atas tuduhan fitnah Liwat II.

"KAJANG MOVE" yang dirancang terbukti memberi kesan luar biasa kepada rejim zalim sehinggakan mereka terpaksa melakukan tindakan yang luar biasa apabila tidak sampai 48 jam, hukuman dijatuhkan selepas beberapa jam sahaja selesai penghujahan dibaca.  Satu tindakan luar biasa yang membuatkan rakyat faham bahawa isu Anwar ini bukan isu jenayah mahupun moral tetapi lebih kepada isu politik semata-mata.
 
Apakah mereka anggap memenjarakan Anwar dengan hukuman 5 tahun, maka musnahlah plan "KAJANG MOVE" seterusnya membantut langkah PR ke Putrajaya?  Jika itulah anggapan mereka, silap besar.  KEADILAN khususnya dan PR amnya, tidak bergantung hayat dengan susuk tubuh Anwar Ibrahim sepertimana mereka bergantung hayat dengan 'dubur' Saiful yang menjijikkan itu.
 
Datin Seri Wan Azizah atau lebih mesra dengan panggilan Kak Wan itu diamanahkan untuk teruskan langkah untuk merealisasikan "KAJANG MOVE".  Ini satu bukti menunjukkan plan "KAJANG MOVE" bukan fokus kepada pertukaran MB Selangor sepertimana yang dihebuhkan sebelum ini.  Kejutan plan "KAJANG MOVE" terbukti memperlihatkan kesan kepada rakyat Selangor khususnya apabila secara tiba-tiba Najib yang mengetuai rejim boleh bersetuju dan tergesa-tergesa menandatangani persefahaman (MOu) dengan Kerajaan Negeri berkaitan pengambilalihan konsesi air di Selangor.  Tidakkah tuntutan itu sudah lama diimpikan oleh rakyat Selangor semenjak PR mengambilalih Kerajaan Negeri?  Mengapa disaat PRK Dun Kajang secara mendesak Najib tunduk akhirnya?  
 
Jelas, "KAJANG MOVE" benar-benar buat rejim sekarang merasa 'panas'.   Disaat rakyat membara dengan kemarahan terhadap rejim yang menzalimi Anwar dengan hukuman penjara 5 tahun, rakyat merasa sedih dan dukacita pula apabila tersiar berita kehilangan pesawat MAS MH370 yang sehingga kini gagal dikesan.  Isu passport palsu yang disyaki digunakan oleh dua penumpang yang turut hilang itu menjadikan rejim bertambah tertekan dengan persoalan rakyat tentang tahap keselamatan negara ini.

KEADILAN Pahang mengungkapkan rasa dukacita di atas tragedi ini dan mendoakan agar kesemua mangsa yang terlibat berada di dalam keadaan selamat. 

Saturday, March 8, 2014

BERSEDIAKAH UNTUK KE JALANRAYA?

KEADILAN lancar Reformasi 2.0, kaji untuk ke jalan raya

KAJANG 8 MAC: Beberapa jam selepas Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim disabitkan atas tuduhan liwat dan dijatuhkan lima tahun penjara, para penyokongnya berhimpun di Kajang menggesa kejatuhan BN.

 
 
Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali mengisytiharkan permulaan Reformasi 2.0 di hadapan 500 orang di pusat gerakan pilihan raya parti itu di Kampung Sungai Sekamat, Kajang.

Beliau bertanya kepada hadiran sama ada mahu berjuang melalui pilihan raya atau turun ke jalanan, dan mereka bersorak tanda bersetuju.

“Walaupun kita menang dengan 52 peratus undi, tapi mereka masih berkuasa,” katanya.

Azmin berkata Majlis Presiden Pakatan Rakyat akan membuat keputusan esok sama ada untuk turun ke jalanan.

“Jika kita umumkan esok jam 9 malam di Dataran Merdeka, adakah anda bersedia? Jika kita umumkan esok jam 3 petang di Jalan Tuanku Abdul Rahman, adakah anda bersedia?” tanya Azmin dengan disambut oleh hadirin seperti dilapor Malaysiakini.

Thursday, March 6, 2014

Perjanjian air boleh ditangguh, tetapi kita tetap sokong Khalid, kata Anwar


 
 
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melahirkan kekesalan ke atas keputusan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kerajaan negeri Selangor yang terburu-buru menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) pengstrukturan semula air.

Ketua pembangkang itu berkata Khalid tidak perlu tergesa-gesa menandatangani MoU penting berkenaan yang melibatkan kepentingan rakyat Selangor malah ia boleh ditangguh pada hari yang lain.

"Beliau boleh minta hari yang lain. Namun kita tetap memberi sokongan kekuatan kepada Khalid.

"MoU itu tidak perlu dilakukan segera," katanya selepas mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat (PR) di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini.

Kerajaan negeri Selangor menandatangani MoU dengan Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air berhubung pemilikan konsesi air di Selangor minggu lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyaksikan upacara menandatangani MoU berkenaan, antara Khalid dan Datuk Seri Maximus Ongkili di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Anwar berkata, kerajaan persekutuan tidak wajar membuat tawaran dengan masa sesingkat itu kepada kerajaan Selangor kerana ia melibatkan perjanjian bernilai tinggi.

Katanya, perkara tersebut tidak pernah berlaku dalam mana-mana tawaran perjanjian dan atas sebab itu MoU tersebut terus menjadi tanda tanya.

"Saya sebut depan Khalid dua hari lalu, kerajaan persekutuan mestilah bersabar. Takkanlah malam telefon, esok kita tandatangan pukul 11 pagi.

"Ini tidak pernah berlaku dan menjadi tanda tanya. Kalau betul, bagilah notis untuk tandatangan MoU bernilai RM9 atau RM11 bilion ini," katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Ahli Parlimen DAP, Anthony Loke.

Ketua Umum PKR itu berkata bagaimanapun MoU itu harus ditandatangani demi kebajikan rakyat Selangor agar kehidupan harian mereka tidak terjejas.

Katanya, Majlis Pimpinan PR akan menghantar tiga wakilnya iaitu Ahli Jawatankuasa PAS Dr Dzulkefly Ahmad, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen DAP Tan Kok Wai bagi menyampaikan pandangan berhubung MoU itu.

"Ketiga-tiga mereka akan memberi pandangan dan diberi penjelasan mengenai kesan MoU kepada negeri Selangor berhubung tarif dan perjanjian Langat 2.

"Mereka bertanggungjawab memberi penerangan kepada pemimpin Pakatan sebelum apa-apa perjanjian ditandatangani," katanya.

Mustafa pula berkata, satu konvensyen PR akan diadakan pada Sabtu bertemakan "Pakatan Membela Rakyat" yang akan dipengerusikan oleh Exco Selangor, Iskandar Abdul Samad.

"Antara objektif konvensyen itu adalah melihat Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang sebagai satu platform PR ke Putrajaya dan urus tadbir kewangan yang baik," katanya.  

Tuesday, March 4, 2014

Khalid, Azmin sepakat tidak ulas isu pemilihan hingga PRK Kajang selesai

Oleh Afeeqa Afeera

KAJANG 3 MAC: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Mohamed Azmin Ali sepakat untuk tidak membuat kenyataan mengenai pemilihan jawatan parti sehingga Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang selesai.

Hal itu diumumkan mereka pada sidang media selepas merasmikan Bilik Gerakan Utama PKR di Jalan Cheras, di sini petang tadi.

Menteri Besar, Abdul Khalid berkata fokus utama ialah memastikan kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dun Kajang tercapai.

“Saya berharap media jangan gunakan kesempatan ini untuk bertanya soalan tentang isu pertandingan timbalan presiden parti.

“Saya bersetuju supaya kempen dibuat selepas PRK Kajang. Ini pernah saya nyatakan dan dipersetujui Azmin,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Bilik Gerakan PKR sempena PRK Kajang.

Jumaat lalu, Abdul Khalid mengumumkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR yang kini disandang Azmin.

Beliau memutuskan demikian bagi membawa perubahan kepada parti dan bukannya ada agenda peribadi./Selangorku

Monday, March 3, 2014

ZAID IBRAHIM AKHIRNYA GUNA MODAL UMNO DI DALAM KEMPENNYA

Demokrasi pilihanraya di negara ini membenarkan sesiapa sahaja untuk menawarkan diri bertanding di dalam pilihanraya.  Namun demikian rakyat akan menentukan siapakah wakil mereka yang boleh diharapkan untuk membela nasib mereka. 
 
Apabila calon Bebas, mantan Presiden Parti KITA yang telah dibubarkan menawarkan diri untuk bertanding di PRK Dun Kajang, kita mengalu-alukannya kerana Zaid Ibrahim memang orang politik dan beliau berhak untuk menawarkan dirinya menentang calon dari PR iaitu Dato' Seri Anwar Ibrahim serta calon dari Bn mahu pun jika ada calon dari Bebas yang lain.   
 

Dikatakan dahulunya Pahang adalah sebuah negeri yang kuat para penyokong Zaid Ibrahim sewaktu beliau menentang Azmin Ali untuk jawatan Timbalan Presiden PKR.  Sokongan kepada Zaid waktu itu adalah proses demokrasi yang dibenarkan, namun apabila Zaid istihar keluar dari PKR, sedikit pun tidak mempengaruhi PKR Pahang keseluruhannya untuk belot kepada parti.  PKR Pahang tetap mengutamakan parti dari individu apatah lagi individu berkenaan melompat keluar.  

Di dalam kempen PRK Dun Kajang, jentera dari PKR Pahang telah bersiap sedia untuk menentukan kemenangan calon PR iaitu Dato' Seri Anwar Ibrahim.  Zaid Ibrahim tidak akan mendapat simpati dari PKR Pahang.  Justeru itu, kempen Zaid sekarang dengan menyerang peribadi Dato' Seri Anwar Ibrahim memperlihatkan wajah sebenar Zaid Ibrahim dan beliau sememangnya layak untuk tidak berada di dalam PKR.

Terdahulu, Zaid yang bercakap dalam majlis makan malam bersama pengundi Kajang malam semalam berkata Anwar mahu menjadi Menteri Besar bagi memperoleh pengaruh untuk menghadapi kes tuduhan  liwat ke atas beliau di mahkamah. Nada ucapan Zaid ini sudah mirip benar dengan ucapan pimpinan Umno maka sebab itu lah tidak hairan jika ada yang berpendapat Zaid Ibrahim diletakkan di Kajang sebagai 'aset' Umno untuk memecahkan undi kepada Dato' Seri Anwar terutamanya undi dari kaum Melayu. 

Zaid Ibrahim sudah tiada hujah untuk mempertikaikan kredibiliti Ketua Pembangkang tersebut, maka beliau sanggup merendahkan mindanya bermain dengan isu fitnah Liwat yang rakyat Malaysia telah menolaknya semenjak tahun 1998 lagi.  Pemikiran Zaid Ibrahim kini setaraf dengan Papagomo yang baru-baru ini dikenakan hukuman RM800,000 sebagai bayaran saman yang dikemukakan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim terhadapnya atas fitnah yang dijaja oleh Blogger upahan tersebut.
 
Rakyat Kajang khususnya tidak akan membenarkan diri mereka diperbodohkan dengan isu-isu fitnah seperti ini.   Menggunakan isu fitnah seks terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah satu kesilapan besar yang sepatutnya mereka pelajari dari keputusan PRU 13 yang lalu.


Sunday, March 2, 2014

PEMILIHAN PARTI - GUNAKAN PELUANG SEBAIK MUNGKIN

MB Selangor, Tan Seri Khalid Ibrahim telah mengumumkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden KEADILAN pada pemilihan parti tidak beberapa lama lagi.  Jawatan itu sekarang disandang oleh Azmin Ali selaku Pengerusi KEADILAN Negeri Selangor yang sehingga kini masih belum mengumumkan keputusannya samada untuk mempertahankan jawatan tersebut atau tidak.

Dato' Seri Anwar Ibrahim yang kini selaku Ketua Umum KEADILAN telah pun menyuarakan hasratnya untuk bertanding jawatan Presiden KEADILAN dan Datin Seri Wan Azizah dikatakan tidak akan mempertahankan jawatannya.  

Pertandingan di dalam parti adalah salah satu cara untuk menambah baik prestasi parti dan sudah tentunya kita akan memilih yang terbaik dari yang baik.  Alhamdulillah, setakat ini tiada seorang pun dari pimpinan parti kita yang terpalit dengan isu-isu besar atau penyelewengan dan ini memberi makna selama ini parti kita berjaya mengekalkan imej parti yang jauh lebih baik dari Umno/Bn.  Walau bagaimanapun, ahli-ahli parti sentiasa diberi hak untuk memilih pemimpin yang mereka rasakan akan menambah baikkan lagi imej dan prestasi parti agar parti yang berasaskan reformasi ini sentiasa dihormati oleh rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat dan digeruni pihak lawan.

Sehubungan itu, ahli-ahli hendaklah menggunakan peluang yang diberikan ini sebaik mungkin dan menilai pimpinan yang kita pilih agar pemimpin yang dipilih itu mampu menggalas parti dengan baik dan efisyen.  Cabaran parti di masa akan datang khususnya menghadapi PRU 14 tentu lebih getir dan kita memerlukan pemimpin yang bijak mengatur strategi parti dan bijak membaca tipu helah musuh. 

Dinasihatkan kepada semua ahli agar tidak menjadikan pemilihan di dalam parti untuk memburuk-burukkan orang lain lebih-lebih lagi mudah terpedaya dengan cerita fitnah dari mana-mana fitnah.  Buatlah pilihan berdasarkan rekod atau pencapaian seseorang pemimpin itu di dalam membantu parti dan pengorbanannya tidak kira diwaktu parti di dalam kesusahan atau kesenangan. 

Saturday, March 1, 2014

Media Jepun: Anwar Pemimpin Berkarisma Asia


 
TOKYO, JEPUN 28 FEB: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara pemimpin berkarisma dikenali ramai di Asia yang cuba membawa perubahan sosio-politik di Malaysia lapor media Jepun, JB Press.

“Beliau dikenali kerana dengan pidatonya seperti ‘bintang rock’ bagi dunia politik hingga mampu membangkitkan semangat orang ramai yang mendengarnya,” tulis JB Press.

Laporan itu turut menyebut Ketua Umum KEADILAN itu antara tokoh penting yang berusaha memimpin perubahan bagi mengubah lanskap politik selepas Malaysia diperintah hampir 60 tahun oleh parti yang sama semenjak kemerdekaan.

“Dalam pilihan raya umum yang lalu, pembangkang is memenangi 51% undi. Berbanding parti pemerintah kekal mentadbir walaupun mendapat 47% undi akibat sistem ‘gerrymander (first past the post).

“Parti pemerintah menguasai 60% kerusi parlimen, mengekalkan mereka di tampuk kuasa,” tulis laporan tersebut.


Anwar menyampaikan syarahan bertajuk “Muslim Democrat: The Case of Malaysia” dalam majlis anjuran The Sasakawa Middle East Islam Fund di Tokyo, Jepun.

Tambah laporan tersebut, pandangan rakyat Malaysia yang mahu menukar kerajaan, mengubah sistem pilihan raya kepada lebih bebas dan adil selain kritikan terhadap pentadbiran yang rasuah mendapat sambutan luas di kalangan generasi muda.

“Kemungkinan pakatan pembangkang untuk mengambil alih kuasa dalam pilihan raya akan datang tidak boleh dinafikan,” tulis laporan tersebut.

Laporan turut menyebut parti politik yang menguasai kerajaan Malaysia mengehadkan kebenaran berhimpun dan penguasaan pemerintah keatas media arus perdana.

Liputan berkenaan bersempena kehadiran Anwar ke Jepun kelmarin, selepas dihalang pada 19 Januari lalu apabila pihak berkuasa negara matahari terbit itu memberi alasan Anwar tidak mendapat kebenaran khas kerana pernah dipenjarakan di Malaysia.

Acara Anwar di Jepun sangat padat, kerana beliau diaturkan memberi syarahan serta mengadakan pertemuan dengan pihak media Jepun.

“Alhamdulillah, saya dan anggota delegasi selamat tiba di Lapangan Terbang Narita, Jepun awal pagi tadi.
“Acara di Jepun padat dengan jemputan syarahan serta pertemuan dengan pihak media,” tulis Anwar di laman Facebooknya, semalam.

Anwar diundang bagi menyampaikan syarahan bertajuk “Muslim Democrat: The Case of Malaysia” dalam majlis anjuran The Sasakawa Middle East Islam Fund dan menjadi panel di forum anjuran National Graduate Institute For Policy Studies.