KEADILAN Negeri Pahang telah mengadakan Rumah Terbuka Aidil Fitri 2017 bertempat di perkarangan Pejabat Ranting Keadilan Taman Tas, di kawasan Cabang Paya Besar pada 22 Julai 2017 (Sabtu) mulai jam 10.00 pagi sehingga jam 12.00 tengahari.
Sempena dengan majlis tersebut, Keadilan negeri telah menjemput Presiden Keadilan, Dato' Seri Wan Azizah bte Wan Ismail beserta Timbalan Presiden, yang juga MB Selangor, YAB Dato' Seri Mohamad Azmin bin Ali serta beberapa pimpinan pusat yang lain. Walau bagaimanapun, Dato' Seri Wan Azizah tidak dapat hadir kerana terpaksa ke Sabah di atas beberapa urusan parti, dan beberapa pimpinan pusat juga tidak dapat hadir kerana terlibat di dalam program-program lain di kawasan masing-masing.
Namun demikian, Keadilan Negeri Pahang bertuah kerana Timbalan Presiden yang juga YAB Dato' MB Selangor, Dato' Seri Mohamad Azmin bin Ali sudi hadir. Kesemua Wakil Rakyat dari Keadilan Pahang telah hadir termasuk Ketua-Ketua Cabang di seluruh Negeri Pahang. Beberapa pimpinan dari Pakatan Harapan juga dijemput untuk bersama di dalam majlis tersebut. Lokasi Pekan Taman Tas dipilih kerana ianya berada di tengah-tengah jalan utama Gambang ke Kuantan bagi memudahkan orang ramai untuk hadir bersama. Taman Tas juga mempunyai peratusan kaum yang seimbang dan majlis tersebut dapat diraikan oleh semua kaum bagi mewujudkan perasaan muhibbah serta saling menghormati.
Pada majlis berkenaan turut diadakan penyampaian sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Kaunter Pendaftaran Pengundi Baru juga turut disediakan di bawah Pusat Khidmat Adun Semambu. Dato' Seri Azmin kemudiannya berkunjung ke rumah Pengerusi Keadilan Negeri Pahang, YB Dato' Fauzi Abdul Rahman sebelum bergerak pulang kerana ada program lain yang menanti. Majlis Rumah Terbuka yang diadakan telah mendapat sambutan yang amat baik sehinggakan makanan yang disediakan tidak mencukupi menjelang jam 12.00 tengahari.
Majlis Pimpinan Negeri Pahang mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB Timbalan Presiden kerana sudi untuk bersama rakyat Pahang di dalam majlis pada hari tersebut. Terima kasih juga kepada pimpinan-pimpinan Pakatan Harapan yang telah hadir dan kepada semua tetamu. Ribuan kemaafan dari kami sekiranya terdapat beberapa kelemahan atau layanan yang tidak memuaskan pada hari tersebut.