KLIK "STOP" UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

DENGAR RADIO KAMI?

SILA KLIK "STOP" PADA RADIO KOBAT FM UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Followers

Monday, November 14, 2016

MENGAPA KITA WAJIB TURUN BERSIH5 PADA 19 NOV INI?

SERUAN TURUN KE HIMPUNAN BERSIH5 PADA 19 NOVEMBER 2016 (SABTU)



Rasulullah S.A.W bersabda;


مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Ertinya: “Barangsiapa di antara kalian melihat kemungkaran, maka ubahlah ia dengan tangan, jika tidak mampu, maka ubahlah dengan lisan, jika tidak mampu, maka dengan hati (dengan menunjukkan ketidak redhaan terhadap kemungkaran tersebut), dan itulah selemah-lemah iman.” (Sahih Muslim)

Pesanan daripada Baginda Rasulullah S.A.W amat jelas, bahawa sebarang kemungkaran, ketidakadilan dan kezaliman itu wajib ditentang kerana Islam mendokong kepada keadilan dan kesejahteraan. Berpandukan kepada ajaran Islam ini, KEADILAN Pahang merasa bertanggungjawab untuk mengajak dan menyeru kepada semua rakyat khususnya di negeri ini, dan seluruh negara agar sama-sama bangkit melawan kezaliman.

Sebagai sebuah parti politik yang berteraskan reform, perjuangan KEADILAN sejak mula ditubuhkan adalah untuk menentang kezaliman dan menegakkan keadilan. Kerajaan yang korup dengan sistem yang bobrok adalah di antara sifat-sifat kezaliman dan kemungkaran pemerintah terhadap rakyat jelata. Justeru itu, menjadi kewajipan kepada seluruh rakyat untuk menentangnya mengikut kuasa dan kemampuan yang ada. Kerajaan yang tidak mendengar kritikan dan teguran rakyat sebaliknya meneruskan dasar yang menyusahkan rakyat, berlaku tidak adil dan zalim, kerajaan seperti ini tidak lagi perlu dipertahankan jauh sekali untuk kita mendampinginya.

Apa kuasa yang ada pada rakyat? Kita telah menegur, kita juga telah mengkritik secara lantang menerusi saluran yang dibenarkan undang-undang. Rakyat memilih saluran demokrasi melalui sistem Pilihanraya untuk mengubah kerajaan ini, malangnya sistem Pilihanraya juga dinodai mereka. Meskipun di dalam PRU13 yang lalu, 52% rakyat memilih Pakatan Rakyat untuk mentadbir Putrajaya, namun akibat sistem yang tidak adil maka pilihan rakyat dinafikan. Rejim zalim terus memerintah dan melakukan sesuka hati mereka.

Rakyat mahu sistem Pilihanraya yang adil. Rakyat tidak memilih revolusi untuk menukar kerajaan. Pilihanraya yang bersih dan adil adalah salah satu dari 5 tuntutan BERSIH. Oleh kerana objektif BERSIH itu bertepatan dengan kehendak Islam, maka menjadi kewajipan kita untuk menyokong tuntutan BERSIH ini. Di antara 5 tuntutan BERSIH, tiada satu pun yang bercanggah dengan Islam. Tuntutan lain, Sistem dan Dasar Negara Yang Adil, Sistem Berparlimen Yang Telus, Hak Bersuara dan Mengkritik mengikut perlembagaan serta yang terakhir adalah memberikan keadilan kepada penduduk di Sabah dan Sarawak sama seperti yang diperolehi di Semenanjung. Ini semua adalah di antara beberapa perkara yang sejajar dengan kehendak Islam kerana Islam itu prinsipnya adalah keadilan.

Amat malang sekali sekiranya kita umat Islam tidak menunjukkan sedikit pun rasa bersalah dan terkilan kerana tidak bersama memperjuangkan tuntutan-tuntutan BERSIH ini. Lebih mendukacitakan lagi jika kita terpedaya dengan propaganda pihak rejim yang menfitnah kononnya BERSIH ini ditaja dan disokong oleh Yahudi atau Soros. Tujuan fitnah ini amat jelas iaitu rejim tidak mahu rakyat bangkit menentang mereka dan mereka boleh terus berkuasa dengan segala skandal yang mereka lakukan. Akhirnya, rakyat juga yang menanggung akibatnya.

At-Thabari, menyampaikan sebuah riwayat dari Ibn ‘Abbas “Allah memerintahkan orang-orang yang beriman untuk tidak mendiamkan kemungkaran yang tampak di hadapan mereka, jika demikian (tetap mendiamkan) maka Allah akan menimpakan azab yang berlaku umum.”

Sehubungan itu, KEADILAN Pahang menyeru kepada seluruh rakyat negeri ini, khususnya kepada seluruh para penyokong KEADILAN dan Pakatan Harapan, agar turun beramai-ramai ke Kuala Lumpur (Dataran Merdeka) pada 19 November 2016 ini di dalam satu Himpunan Aman BERSIH5. Barangsiapa yang tidak merasa wajibnya turun untuk menuntut 5 tuntutan BERSIH itu, maka jelas mereka adalah di kalangan yang bersekongkol dengan Penguasa yang zalim.


إِنَّ اللّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنْفُسِهِمْ

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada mereka" (QS - Ar Ra'ad -11)


14 NOVEMBER 2016



WAN FAUZULDIN WAN SAMAD
Pengarah Komunikasi
KEADILAN Pahang

Friday, November 11, 2016

KONVENSYEN PAKATAN HARAPAN - PAHANG HANTAR 20 PERWAKILAN KE SHAH ALAM



Konvensyen Pakatan Harapan akan diadakan esok, (Sabtu) 12 November 2016 bermula jam 08.30 pagi bertempat di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam, Selangor.

KEADILAN Negeri Pahang akan menghantar 20 perwakilan di mana kesemua Ketua Cabang akan hadir bersama dengan beberapa pimpinan utama di dalam MPN.  KEADILAN Negeri Pahang berharap Konvensyen Pakatan Harapan kali ini yang juga bakal disertai oleh rakan-rakan di dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan juga  Parti WARISAN Sabah akan dapat mencapai persefahaman dan kerjasama padu bagi menghadapi PRU14 akan datang.

Kepada semua perwakilan dari Negeri Pahang, kami mengucapkan selamat jalan semoga selamat sampai dan kembali dengan penuh semangat dan iltizam meneruskan perjuangan.

Wednesday, November 2, 2016

PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT "HIDUP BEBAS DIABETES" SECARA PERCUMA ANJURAN MP INDERA MAHKOTA/KUANTAN PADA 06 NOV 2016 DI HOTEL CATHAYANA, KUANTAN

 
Apakah penyakit "Diabetes" atau di kalangan kita orang awam menyebut sebagai penyakit kencing manis ?  Ada yang menyebut ianya merupakan salah satu jenis penyakit kronis yang terjadi pada tingkatan awal pada kadar gula yang ada di dalam darah yang biasanya diakibatkan karena adanya gangguan pada sistem metabolisme yang ada didalam tubuh. 
 
Diabetes tidak dengan mudahnya disembuhkan sekiranya kita gagal mengawal kadar gula yang ada didalam darah.  Dari hasil penelitian terbaru yang dilakukan oleh para ahli kedoktoran, dikemukan teori baru yang menyatakan bahwa penyakit diabetes mellitus tidak hanya disebabkan oleh faktor keturunan (genetik), tetapi juga dipengaruhi oleh bebeapa faktor lain yang multi-kompleks, antara lain kebiasaan hidup dan lingkungan.  Orang yang tubuhnya membawa gen diabetes, belum tentu akan menderita penyakit gula, karena masih ada beberapa faktor lain yang dapat menyebabkan timbulnya penyakit ini pada seseorang, iaitu antara lain makan yang berlebihan/kegemukan, kurang gerak atau jarang berolahraga dan kehamilan.
 
Oleh kerana terlalu banyak teori tentang penyakit ini, alangkah baiknya kita mengetahui dengan lebih lanjut tentang penyakit ini, kaedah-kaedah pencegahan, kawalan dan perubatan.  Sehubungan dengan itu, Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan mengambil inisiatif bersama dengan Kuantan Prihatin dan pihak Cathayana Hotel untuk memberi peluang kepada anda di dalam Program "Hidup Bebas Diabetes" bersama Pakar Perubatan, Dr Azman bin Ismail yang juga Ahli Parlimen Kuala Kedah.  Beliau memiliki klinik sendiri dan merupakan seorang pakar di dalam bidang ini.
 
Orang ramai dijemput hadir bagi mengikuti program secara percuma ini pada 06 November 2016 (Ahad) bermula jam 09.30 pagi sehingga 12.30 tengahari bertempat di Hotel Cathayana,  Kuantan.  Memandangkan penyertaan adalah terhad kepada 100 orang sahaja, maka sesiapa yang terawal mendaftar akan berpeluang mengikutinya.  Untuk pendaftaran, sila berhubung dengan No. Telefon yang tertera di poster di atas.

Program ini adalah program khidmat masyarakat yang diusahakan oleh Pejabat Ahli Parlimen Indera Mahkota dan Ahli Parlimen Kuantan.